Penunggang motosikal maut, tersepit bawah bas
JOHOR BAHRU - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah bas di kawasan lampu isyarat Bakar Batu menghala ke pusat bandar awal pagi tadi.
Menurut komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Saifulnizam Mohd, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.59 pagi.
Katanya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan Unit Bermotor Bomba (RIM) serta 16 anggota bomba dihantar ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada jam 6.05 pagi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 19 tahun dengan sebuah bas yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun.
“Penunggang motosikal yang tersepit di bawah bas kemudiannya berjaya diselamatkan menerusi penggunaan peralatan khas RTA (Road Traffic Accident). Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
“Pemandu bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 7.43 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!