Kemampuan kewangan terhad, projek RTB dilaksana berperingkat

Fadillah ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Fadillah ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemampuan kewangan yang terhad menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan pelan induk tebatan banjir secara berperingkat dan mengikut keutamaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan, penilaian keutamaan dalam aspek pelaksanaan rancangan tebatan banjir (RTB) diberi kepada negeri dan kawasan yang lebih berisiko.

"Bagi menyelesaikan masalah banjir, kita perlukan RM392 bilion (peruntukan keseluruhan) tetapi peruntukan kerajaan (berikan) tidak sampai kepada jumlah itu.

"Realitinya, kemampuan kewangan kerajaan terhad, sebab itu kita laksanakan projek mengikut keutamaan iaitu berdasarkan negeri dan kawasan, melalui maklumat daripada kajian yang dijalankan," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (PH-Klang) mengenai usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu banjir yang terus berlarutan dan semakin memburuk tahun demi tahun.

Dalam pada itu Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, kerajaan telah melaksanakan RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar di Klang, Selangor pada Januari lalu.

Selain itu menurutnya, RTB Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam pula yang dilaksanakan secara reka dan bina bermual 1 Februari lalu.

"Kita laksanakan secara berfasa mengikut kemampuan kewangan yang diperuntukkan.

"Banyak lagi yang perlu dilaksanakan tetapi bergantung dengan berapa kewangan yang diperolehi, tetapi kalau mengikut jangkaannya, RM392 bilion itu mungkin makan masa 100 tahun baru dapat diselesaikan mengikut peruntukan sedia ada iaitu RM3 bilion (ketika ini)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Petrajaya berkata, kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kajian mengikut lembangan sungai utama sebagai pendekatan bukan struktur.

Fadillah menjelaskan, ia bertujuan untuk menyediakan perancangan serta penyelesaian banjir secara menyeluruh sebagai penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!