Treler muatan serbuk kayu terbabas, trafik perlahan 20km
SEREMBAN - Sebuah treler yang membawa serbuk kayu hilang kawalan sehingga menyebabkan muatannya itu jatuh di kilometer 260.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara pada Ahad.
Kejadian pada jam 5.01 petang itu turut menyebabkan trafik di lokasi bergerak perlahan sejauh kira-kira 20 kilometer.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati treler jenis Hino yang dipandu lelaki berumur 42 tahun dari arah Seremban menghala ke Klang.
"Treler berkenaan telah hilang kawalan dan menyebabkan muatan serbuk kayu jatuh di lorong kecemasan, lorong kiri dan tengah.
"Pemandunya tidak mengalami kecederaan. Lorong kecemasan, lorong kiri dan lorong tengah telah ditutup dan hanya laluan kanan sahaja boleh digunakan untuk laluan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, kemalangan menyebabkan kenderaan bergerak perlahan di lebuh raya berhampiran tempat kemalangan.
"Pihak polis bertugas berada di lokasi bagi membantu meleraikan kesesakan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Saiful Bahthiar Ismail di talian 019-7242479 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Rule 19 LN166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!