Mohamad Sabu akur titah Sultan Selangor kekalkan nama UPM

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak mahu membangkitkan cadangannya sebelum ini untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Menurutnya, beliau akur dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor universiti berkenaan supaya nama universiti itu dikekalkan.
“Saya mengambil maklum bahawa keputusan dibuat baginda Sultan Selangor dan Canselor UPM adalah muktamad.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini apa-apa lagi. Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik,” katanya seperti dilaporkan portal berita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan pada Ahad.
Pada Sabtu, Sultan Sharafuddin bertitah tidak berkenan dengan cadangan untuk menukar nama UPM kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Tegas baginda, cadangan tersebut tidak dirujuk kepadanya selaku Canselor dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti terlebih dahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
