Tergerak hati nak balik rumah

Rosleli meninjau sendiri keadaan kebakaran di ruang tamu kediaman Fadel.
Rosleli meninjau sendiri keadaan kebakaran di ruang tamu kediaman Fadel.
A
A
A

KOTA TINGGI - Sebuah keluarga di Taman Pasak Indah di sini, nyaris tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka terlibat dalam kebakaran, kelmarin.

Mangsa, Fadel Ahmad, 39, berkata, pertolongan jiran-jiran berjaya menyelamatkan kejadian kebakaran yang melibatkan bahagian ruang tamu itu daripada merebak ke seluruh bahagian rumahnya.

Menurutnya, ketika kejadian rumahnya tidak ada penghuni kerana anak-anak bersekolah sementara dia dan isteri keluar berniaga.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang. Lepas solat saya tergerak nak balik rumah kejap. Tak sangka pula waktu yang sama jiran-jiran cuba hubungi saya untuk memaklumkan kebakaran itu.

“Namun masa tu, saya dah sampai rumah dan nampak jiran-jiran kelam kabut cuba nak padamkan api. Sebaik buka pintu rumah saya dapat lihat api sudah ‘makan’ bahagian syiling ruang tamu rumah,” katanya.

Tambahnya, antara barangan yang terjejas ekoran kebakaran itu termasuklah sofa, komputer, pendingin hawa, kipas serta pendawaian elektrik dalam satu rumahnya yang rosak.

Katanya, pihak bomba dan penyelamat menganggarkan jumlah kerugian dialaminya bernilai RM30,000 akibat kerosakan tersebut.

“Dipercayai punca kebakaran adalah akibat litar pintas. Meskipun kebakaran di ruang tamu tetapi menjejaskan peralatan elektrik di bahagian bilik rumah akibat bahang terlalu panas.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih kepada semua jiran-jiran yang membantu dan juga pihak wakil rakyat yang prihatin dengan nasib yang menimpa kami. Buat masa ini, kami sekeluarga tinggal di rumah keluarga di Felda Air Tawar 2,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Johor Lama, Rosleli Jahari memaklumkan pihaknya akan cuba mendapatkan apa-apa bantuan dari mana-mana pihak yang boleh membantu membaiki kerosakan akibat kebakaran tersebut.

“Pihak Baitulmal Kota Tinggi dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj) akan menyalurkan bantuan segera. Kita ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan diharap mereka akan bersabar dengan musibah ini,” katanya.