Pas sokong Tun M beri isyarat kehendak majoriti

Ahmad (duduk tengah) bersama pengamal media di Majlis Hi Tea Pesuruhjaya Pas Kedah di Alor Setar.
Ahmad (duduk tengah) bersama pengamal media di Majlis Hi Tea Pesuruhjaya Pas Kedah di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Sokongan Pas kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan indikasi pembentukan Pakatan Nasional akan berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, sebaliknya usul percaya Pas terhadap kepimpinan Dr Mahathir akan memberi isyarat kehendak majoriti sama ada cenderung kepada pembentukan gabungan politik baharu atau sebaliknya.

Menurutnya, bagaimanapun, keutamaan Pas kini adalah untuk mengukuhkan Muafakat Nasional bukan sahaja bersama UMNO tetapi termasuk semua pihak yang menyokong gagasan itu.

“Sama ada Pakatan Nasional jadi kenyataan, kenalah tunggu dan lihat. Usul percaya kepada kepimpinan Dr Mahathir akan menjawab siapa yang bagi sokongan dan sebaliknya. Yang bagi sokongan itu akan beri isyarat ketika itu bahawa itulah kehendak majoriti,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Hi Tea Pesuruhjaya Pas Kedah bersama media di sini kelmarin.

Ahmad turut menafikan dakwaan usul berkenaan bertujuan untuk menyekat peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas dakwaan Anwar bahawa usul undi percaya Pas itu bertujuan untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH) dan percaya usaha itu tidak akan berjaya, Ahmad berkata, tiada asas dakwaan itu memandangkan PH sememangnya asyik bertelagah sesama sendiri sejak mengambil alih pentadbiran negara.

“Saya tak pernah tengok PH bersatu. Pertembungan itu jelas dilihat kebelakangan ini ada yang menghentam Dr Mahathir, sesama pemimpin pun bercakaran sudah cukup beri isyarat PH tidak bersatu. Kita tak buat pun mereka sudah berpecah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas mahu lihat sokongan PH terhadap Tun M

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, langkah Pas membawa usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat akan datang bertujuan melihat sejauh mana sokongan diterima Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam kalangan ahli Parlimen PH.

Menurutnya, tindakan pengisytiharan sokongan terhadap Dr Mahathir dan Anwar dalam Dewan Rakyat adalah satu keperluan bagi menghentikan polemik peralihan kuasa Perdana Menteri yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, sekiranya masing-masing berasa ada kekuatan untuk menjadi PM, maka mereka perlu menzahirkannya menerusi perolehan majoriti undi percaya di persidangan Dewan Rakyat kelak.