Pas mahu lihat sokongan PH terhadap Tun M

Idris Ahmad
Idris Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah Pas membawa usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat akan datang bertujuan melihat sejauh mana sokongan diterima Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam kalangan ahli Parlimen PH.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, tindakan pengisytiharan sokongan terhadap Dr Mahathir dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat adalah satu keperluan bagi menghentikan polemik peralihan kuasa Perdana Menteri yang tidak berkesudahan.

Menurutnya, sekiranya masing-masing berasa ada kekuatan untuk menjadi PM, maka mereka perlu menzahirkannya menerusi perolehan majoriti undi percaya di persidangan Dewan Rakyat kelak.

"Tetapi sekiranya mereka tidak setia kepada Dr Mahathir, hal ini membuktikan kerajaan PH 'cakap di luar lain, di dalam pun lain'.

"Setakat ini, pendirian Pas hanya sokong undi percaya kepada Dr Mahathir sahaja...tiada sentuh langsung mengenai perkara lain termasuk Pakatan Nasional," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menggesa Dr Mahathir dan Anwar perlu mengisytihar jumlah sokongan yang diterima untuk menentukan sama ada peralihan kuasa perlu dilakukan atau sebaliknya.

Menurut Abdul Aziz, jumlah sokongan terutama dalam kalangan Ahli Parlimen itu penting untuk menamatkan isu berkaitan peralihan kuasa tersebut.

Semalam, media melaporkan Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, tetapi menambah keputusan muktamad terletak pada Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika seorang calon itu daripada parti yang memiliki majoriti tetapi dia sendiri tidak mendapat sokongan majoriti, maka dia tidak akan dapat menjadi perdana menteri.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan pendirian parti itu untuk mengemukakan usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula bulan hadapan.

Menurutnya, Pas berpendapat usul terbabit perlu dikemukakan kerana ianya membabitkan kepentingan awam.