Apa silapnya bahasa Inggeris di sekolah?

Kerajaan mengumumkan untuk kembalikan dasar PPSMI di negara ini.
Kerajaan mengumumkan untuk kembalikan dasar PPSMI di negara ini.
A
A
A

Saya tidak terkejut apabila ramai orang terutama yang mendakwa pejuang bahasa Melayu menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada ura-ura kerajaan akan melaksanakan semula PPSMI.

Mereka yang menentang mempunyai sebab kukuh. Fakta daripada kajian terperinci jelas menunjukkan dasar tersebut gagal.

PPSMI yang dimulakan pada 2003 memang bermatlamat baik, antaranya untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita.

Tetapi ternyata matlamat murni itu tidak tercapai, keupayaan berbahasa Inggeris murid dan juga guru-guru semakin teruk.

Akhirnya dasar PPSMI dimansuhkan secara berperingkat pada 2012. Dan kini tiba-tiba perkara tersebut hendak dilakukan semula.

Saya bukan anti bahasa Inggeris. Saya sentiasa mengalu-alukan apa juga usaha untuk memperbaiki mutu bahasa Inggeris di negara ini.

Tetapi secara peribadi saya tidak yakin kita dapat memperbaiki bahasa Inggeris menerusi subjek Sains dan Matematik.

Artikel Berkaitan:

Logiknya kalau hendak memperbaiki bahasa Inggeris, kaedah pengajaran subjek berkenaan perlu diperbaiki, mesti ada guru bahasa Inggeris yang baik, bukan cikgu Matematik dipaksa mengajar bahasa Inggeris.

Guru Sains lebih sesuai mengajar subjek Sains, tidak boleh mengajar bahasa Inggeris. Ini adalah antara sebab PPSMI dulu tidak berkesan.

Telah lama meninggalkan alam persekolahan saya tidak tahu bagaimana bahasa Inggeris sebagai satu subjek diajar di sekolah sekarang.

Tetapi menjadi tanda tanya juga kenapa murid-murid kita tidak boleh berbahasa Inggeris, padahal murid kita belajar subjek bahasa Inggeris selama lebih 10 tahun dari darjah satu hingga ke universiti.

Selama 10 tahun belajar bahasa Inggeris, pelajar kita masih tidak dapat menulis dan berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Apa yang mereka belajar selama 10 tahun?

Adakah pelajar kita terlalu lemah? Atau, adakah guru bahasa Inggeris kita tidak mengajar menggunakan kaedah yang betul?

Bercakap berdasarkan pengalaman diri, sejak darjah satu saya belajar di sekolah Melayu. Masuk darjah dua barulah ada cikgu bahasa Inggeris. Kami diajar mengira dan membaca.

Sekolah menengah pun bahasa Inggeris diajar hanya sebagai satu subjek, tetapi kami telah dibiasakan membuat karangan, meringkaskan karangan menggunakan bahasa tersebut.

Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan rakan bukan Melayu, tidak hebat sangat tetapi tidak kekok menuturkannya.

Apabila masuk universiti dengan sendirinya bahasa Inggeris saya meningkat kerana sebahagian besar bahan rujukan pengajian adalah dalam Inggeris.

Pendek kata bahasa Inggeris yang diajarkan kepada saya sejak darjah satu di sekolah rendah di kampung boleh mendedahkan saya kepada Inggeris sebagai satu bahasa lain.

Maka berbalik kepada soalan asal: apa silapnya pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris sekarang apabila tamat universiti pun ramai yang tidak boleh bercakap orang putih?

Sekiranya kita gagal mengajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek, apa jaminan bahawa bahasa itu boleh ditingkatkan menerusi subjek Sains dan Matematik?

Maka kita tidak usah lagi membuang masa, wang dan tenaga untuk menghidupkan semula PPSMI.

Dalam kes saya, bahasa Inggeris dipelajari juga secara tidak langsung menerusi persekitaran semasa kecil.

Contoh, semasa lumba lari di laman surau, saya selalu terdengar orang menjerit sebelum berlumba: “Ayo Mat, gesek, go!”

Apabila masuk sekolah baru saya tahu kata-kata Inggeris yang betul untuk memulakan perlumbaan ialah: “On your mark, get set, go!”

Filem-filem koboi dari wayang pacak di padang sekolah pun mengajar saya banyak istilah Inggeris, antaranya yang cepat saya pelajari ialah “I love you”, “you are beautiful” dan sebagainya.

Pendek kata kalau hendak belajar bahasa, alam keliling pun boleh menjadi gurunya, tidak semestinya hanya di bilik darjah. Kita belajar bahasa Inggeris di sekolah selama 10 tahun, masih tidak boleh cakap Inggeris. Di mana silapnya?

* Datuk Abdul Jalil Ali ialahPenasihat Eksekutif Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)