Tiba masanya Malaysia hasilkan vaksin sendiri

Gambar hiasan. Foto: 123rf
Gambar hiasan. Foto: 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah membangunkan pusat penyelidikan vaksin dan menghasilkan vaksinnya sendiri sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi ancaman penyakit berjangkit yang dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan ekonomi dan kesihatan negara.

Mengutarakan cadangan itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, buat masa ini negara mengimport sepenuhnya bekalan vaksin daripada syarikat antarabangsa dan pelbagai negara dengan kos ratusan juta ringgit setiap tahun.

"Kita tidak ada kemampuan (daripada aspek infrastruktur) untuk hasilkan vaksin, untuk penyakit jangkitan yang melibatkan manusia, tidak ada satu pun syarikat di Malaysia atau pusat penyelidikan yang membangunkan apa-apa vaksin di Malaysia.

"Ini bidang yang Malaysia telah lama masih tidak berkecimpung, telah tiba masanya kerajaan Malaysia menumpukan pembangunan vaksin supaya mempunyai keupayaan untuk keluarkan vaksin sendiri bagi tujuan ‘health and economic securities’," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, beliau khuatir ketiadaan vaksin yang dihasilkan oleh Malaysia sendiri bagi melawan sesuatu penyakit pada masa hadapan boleh mengundang kerugian besar kepada negara termasuk dalam sektor ekonomi sekiranya wujud wabak penyakit seperti yang berlaku semasa jangkitan virus Nipah pada tahun 1999.

Beliau berkata, virus Nipah selain meragut 105 nyawa, turut mengakibatkan kerugian besar kepada negara dari aspek ekonomi.

"Jadi sampai sekarang, kita masih tidak ada vaksin yang kita bangunkan untuk virus Nipah, jika sekiranya ia berulang, kita terpaksa bergantung dengan negara lain, begitu juga dengan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), negara lain telah bangunkan vaksin tapi penyelidikan untuk pembangunan vaksin itu masih tidak ada di Malaysia,” katanya.

Pakej rangsangan ekonomi akibat penularan Covid-19

Ahad lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk melancarkan pakej rangsangan ekonomi tempatan berikutan cabaran yang dihadapi negara akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2003, berikutan wabak SARS, kerajaan ketika itu juga mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM8.1 bilion bagi mengharungi kesan wabak SARS kepada ekonomi negara.

Dr Sazaly berkata, ketika ini ada sebuah syarikat di dalam negara yang membangunkan vaksin untuk jangkitan koronavirus tapi hanya untuk ayam dan vaksin keluaran Malaysia itu turut dieksport ke pelbagai negara.

"Mereka ada vaksin jadi maknanya kebolehupayaan untuk mengeluarkan vaksin untuk koronavirus itu ada di Malaysia tapi bukan untuk manusia, untuk haiwan saja khasnya untuk ayam," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah pun mempunyai kemudahan, keupayaan dan kebolehan untuk membangunkan vaksin sendiri dan Malaysia sepatutnya turut mencontohi mereka.

Beliau khuatir misalnya jika berlaku wabak influenza besar-besaran di dunia, negara akan terpaksa bergantung kepada ihsan syarikat antarabangsa dan negara lain untuk mendapatkan bekalan vaksin.

Sedangkan, perlu diingat bahawa kebiasaannya sesuatu negara akan mengutamakan keperluan vaksin di negaranya sendiri terlebih dahulu ataupun vaccine self-sufficiency sekiranya berlaku sesuatu wabak, kata beliau.

Ditanya sekiranya Malaysia memiliki sumber tenaga manusia yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan vaksin, beliau mengiyakan perkara itu dan menambah, apa yang penting sekarang adalah kesediaan dan sokongan kerajaan untuk membangunkan fasiliti dan kemudahan berkenaan.

"Apa yang penting penekanan dan sokongan kerajaan untuk bangunkan bidang pengilangan, pembuatan vaksin, macam UM telah ada kolaborasi dengan Amerika Syarikat untuk membangunkan vaksin tetapi kita tidak boleh terus melangkah ke depan lagi sebab tak dapat sokongan.

"Macam saya di UM saya sudah hantar kakitangan pergi belajar macam mana buat vaksin di Amerika Syarikat, tapi apabila mereka balik sini kita tidak boleh mengembangkan (apa yang mereka belajar) sebab tidak ada penekanan dan program khusus menjurus kepada pembangunan vaksin, dipanggil vaccine self-sufficiency untuk Malaysia," katanya. - Bernama