Membina semangat yang tinggi

A
A
A
Dalam perjalanan saya ke satu mesyuarat dua hari lepas, seperti biasa saya membuka radio IKIM.fm, saluran kesukaan saya ketika berada di dalam kereta. Ketika itu DJ Radio IKIM.fm sedang menemubual seorang asnaf zakat yang telah mendapat Anugerah Asnaf Cemerlang daripada Lembaga Zakat Selangor iaitu Masliana Mohd Sobri.

Kisah kesabaran beliau mengharungi kesukaran hidup dan tidak mengalah kepada pelbagai ujian patut dijadikan pengajaran oleh mereka yang diuji dengan kemiskinan. Dengan jiwa yang kental dan rajin berusaha, akhirnya daripada seorang asnaf zakat, beliau kini bertukar menjadi pembayar zakat. Tidak mustahil dia boleh menjadi jutawan suatu hari nanti.

Sehari sebelum itu, saya ada berbicara dengan rakan saya tentang isu ketidaktabahan generasi muda sekarang dalam menghadapi kepayahan hidup. Walaupun saya tidak nafikan ada yang berjiwa kental, tetapi daripada pemerhatian saya secara rawak, boleh dikatakan kebanyakan generasi muda sekarang agak manja atau tidak begitu lasak dalam menghadapi cabaran dan kesukaran hidup.

Antara sebab saya berkata sedemikian adalah kerana generasi sekarang mudah kecewa, mudah tertekan dan mudah putus asa berbanding dengan generasi terdahulu.

Saya memetik tulisan Yusliza Yakimir Abd Talib dalam sebuah akhbar yang menyebut bahawa: “Kaji selidik terhadap 1,003 golongan muda Malaysia yang bekerja mendapati kira-kira satu pertiga daripada mereka rasa tertekan untuk berjaya dalam hubungan, kerjaya atau kewangan, walaupun majoriti kedua-dua jantina sudah mempunyai pekerjaan sepenuh masa.”

Saya tidak nafikan bahawa cabaran kerja pada hari ini tidak sama seperti zaman dahulu. Namun apa yang saya ingin nyatakan adalah kecekalan dan semangat yang tinggi perlu ada dalam diri jika kita ingin berjaya dalam hidup ini. Kecekalan dan semangat yang tinggi amat perlu dalam alam pekerjaan sebagaimana ia sangat penting dalam menjalani kehidupan alam rumah tangga.

Jika kecekalan dan semangat yang tinggi tiada dalam diri kita, kita akan mudah mengalah dan mudah kecewa dengan kehidupan. Apabila kita mudah mengalah dan mudah kecewa, kita akan hadapi tekanan hidup. Sudah pasti semua unsur negatif tersebut akan membahayakan diri kita.

Dalam situasi kecewa dan hilang semangat, tidak mungkin kita boleh membina kecemerlangan.

Bagi seorang Muslim, tentu sekali jawapan paling asas untuk mencari kekuatan diri adalah dengan kembali kepada ALLAH. Maksudnya bagaimana? Kembali kepada ALLAH maksudnya banyak meminta daripada ALLAH. Ini kerana ALLAH yang memiliki segalanya.
Artikel Berkaitan:


Kelemahan aqidah adalah punca utama kepada segala kelemahan lain. Mereka yang yakin dengan ALLAH, tidak akan mudah putus asa untuk terus berusaha dan berdoa. Mereka memandang positif kepada setiap halangan dan kesukaran hidup.

Mereka terus mencari jalan bagaimana untuk keluar daripada kesukaran dan halangan tersebut. Lihatlah sendiri bagaimana kisah pengutip sampah yang kini sudah menjadi jutawan. Renungilah cerita Masliana Mohd Sobri yang dalam keadaan sedang mengandung ditinggalkan suami berusaha menjala ikan di sungai meskipun beliau tidak pernah melakukan pekerjaan tersebut.

Apa lagi yang menolak mereka untuk jadi begitu kuat melainkan semangat yang tinggi dalam diri. Sentiasa berfikiran positif dan tidak suka mengalah dengan keadaan yang mereka hadapi. Sikap beginilah yang generasi muda perlu bina.

ALLAH telah menjanjikan kepada kita bahawa bagi setiap kesukaran itu pasti akan datang kesenangan. Hal ini ditegaskan oleh ALLAH dalam Surah al-Insyirah, ayat 5-6 yang bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Akhir kalam, berusahalah membina semangat yang tinggi dalam diri agar kita tidak mudah mengalah dengan cabaran dalam hidup kita. Wallahu a’lam.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah