LTdL 2020: TSC enggan selesa selepas pertahan jersi merah

Para pemenang yang mengekalkan jersi sama bagi peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Dataran Warisan, Taiping ke Padang Kota Lama, Pulau Pinang bergambar bersama jersi yang dimenangi pada Majlis Penyampaian Pingat peringkat keenam LTdL 2020 di Padang Kota Lama hari ini. - Foto Bernama
Para pemenang yang mengekalkan jersi sama bagi peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Dataran Warisan, Taiping ke Padang Kota Lama, Pulau Pinang bergambar bersama jersi yang dimenangi pada Majlis Penyampaian Pingat peringkat keenam LTdL 2020 di Padang Kota Lama hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PASUKAN benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) enggan bersikap selesa walaupun pelumba muda negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff masih mempertahankan jersi merah selaku Raja Bukit selepas berakhirnya enam peringkat perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Pengurus TSC Ahmad Sayuti Mohd Zahit menjelaskan, walaupun pelumba berusia 22 tahun itu masih mengungguli kedudukan jersi merah dengan kutipan 29 mata, peluang pelumba pasukan lain untuk merampas jersi berkenaan masih terbuka dengan baki dua peringkat perlumbaan.

"Untuk jersi merah, kita boleh katakan agak selamat memandangkan perlumbaan peringkat ketujuh, esok tiada laluan berbukit, jadi kita perlu bersedia untuk peringkat kelapan di Langkawi yang melibatkan dua zon pendakian.

"Kita tak nak terlalu yakin (pertahankan jersi merah) kerana dalam sukan berbasikal, apa-apa sahaja boleh berlaku pada baki dua peringkat perlumbaan, tapi kita akan berusaha keras untuk pertahankan jersi merah dan jersi kuning (selaku pendahulu keseluruhan) pada kali ini," katanya selepas berakhirnya peringkat keenam LTdL 2020 di sini hari ini.

Pelumba Jepun, Hideto Nakane dari pasukan Nippo Delko Provence memenangi perlumbaan peringkat keenam sejauh 150.9km dari Dataran Warisan, Taiping ke Padang Kota Lama di sini.

Nakane dan pelumba Kazakhstan, Gleb Brussenskiy dari pasukan Vino-Astana Motors melintasi garis penamat pada masa yang sama, namun pelumba dari Jepun itu diisytiharkan pemenang berdasarkan rakaman foto.

Ketua juri mengisytiharkan Nakane dan Brussenskiy mencatatkan tempoh yang sama 3 jam 29 minit dan 15 saat.

Pelumba Itali, Samuele Battistella dari pasukan NTT Pro Cycling Team pula menduduki tempat ketiga dengan perbezaan 0.04 saat di belakang mereka

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad Sayuti menjelaskan peluang masih terbuka untuk pelumba pasukan lain merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada pelumba TSC, Danilo Celano dari Itali.

Pemenang yang mengekalkan jersi kuning, pelumba Itali dari Team Sapura Cycling, Danilo Celano ketika berada dalam kelompok utama peloton Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 pada siri Jelajah LTdL peringkat keenam sejauh 150.9 kilometer dari Dataran Warisan, Taiping ke Padang Kota Lama, Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
Pemenang yang mengekalkan jersi kuning, pelumba Itali dari Team Sapura Cycling, Danilo Celano ketika berada dalam kelompok utama peloton Le Tour De Langkawi (LTdL) 2020 pada siri Jelajah LTdL peringkat keenam sejauh 150.9 kilometer dari Dataran Warisan, Taiping ke Padang Kota Lama, Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama

Pelumba berusia 30 tahun yang memenangi jersi kuning selepas muncul juara peringkat keempat di Genting dua hari lalu masih mengungguli kedudukan pelumba terbaik keseluruhan dengan catatan keseluruhan selepas enam peringkat iaitu 21 jam 17 minit dan 33 saat.

Pelumba muda Kazakhstan, Yevgeniy Fedorov dari pasukan Vino-Astana Motors menduduki tempat kedua dengan perbezaan 26 saat, manakala pelumba pasukan Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Artem Ovechkin berada di tempat ketiga setelah ketinggalan 35 saat di belakang Celano.

Sementara itu, Muhamad Nur Aiman mengulangi pendiriannya bahawa sasaran jersi merah masih menjadi keutamaannya pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal berprestij berkenaan, namun tidak memandang rendah keupayaan beberapa pelumba pasukan lain untuk merampas jersi berkenaan.

Anak jati Setiu, Terengganu itu berjaya mempertahankan jersi merah selepas enam peringkat walaupun sekadar menduduki tangga ke-51 daripada 117 pelumba pada perlumbaan peringkat keenam menerusi catatan masa 3 jam 29 minit dan 34 saat.

"Bagi perlumbaan esok, saya akan cuba membantu Celano untuk mempertahankan jersi kuning memandangkan tiada laluan berbukit, tetapi saya akan berusaha keras untuk menambah kutipan mata pada peringkat terakhir yang melibatkan dua zon pendakian.

"Saya tidak mahu terlalu yakin mengenai peluang pasukan kami mempertahankan jersi merah dan kuning, tapi kami akan cuba yang terbaik," jelas Muhamad Nur Aiman yang meraih tempat kedua keseluruhan pada Jelajah Berbasikal Cambodia Bay pada awal bulan lalu.

Pelumba Perancis, Quentin Pacher dari pasukan B&B Hotels-Vitals Concept dan pelumba pasukan Androni Giocattoli-Sidermec, Kevin Rivera Serrano menduduki tangga kedua dan ketiga jersi merah dengan kutipan 20 mata dan 15 mata selepas enam peringkat perlumbaan.

Peringkat ketujuh LTdL 2020, esok melibatkan jarak sejauh 130.4km dari Bagan ke Alor Setar dengan tiga zon pecutan di Sungai Petani, Gurun dan Pendang. - Bernama