KPM peruntuk RM250 juta untuk empat geran penyelidikan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM250 juta bagi Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) yang memberi fokus kepada penyelidikan asas menghasilkan teori, konsep dan idea baharu.

KPM dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menyasarkan 8,500 permohonan tahun ini, iaitu peningkatan lima peratus berbanding permohonan pada tahun 2019.

"Pengukuhan beberapa subdomain penyelidikan khususnya berkaitan sains sosial dapat mengarusperdanakan penyelidikan bidang ini sekali gus menjadi pelengkap kepada penyelidikan sains dan teknologi," kata kenyataan itu lagi.

Jelas KPM, peruntukan DPF adalah bagi membiayai Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) di bawah KPM yang permohonannya dibuka mulai 6 Januari 2020.

Permohonan ini adalah terbuka kepada penyelidik di Malaysia yang layak di universiti awam, universiti swasta, institut penyelidikan dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Setiap permohonan perlu dikemukakan secara dalam talian dan semua maklumat berkaitan boleh dicapai di pautan http://www.mygrants.gov.my/, katanya lagi.

Tambah KPM, tahun 2020 adalah kali pertama permohonan TRGS dan LRGS dibuka melibatkan dua kluster penyelidikan iaitu perubahan iklim dan alam sekitar serta keselamatan negara sebagai tambahan kepada kluster sedia ada iaitu sekuriti dan keselamatan makanan, infrastruktur asas, kesihatan, pendidikan dan masyarakat madani celik ilmu, kesejahteraan sosial dan ekonomi dan teknologi terkehadapan dan pembuatan termaju.

Inisiatif ini menjadi penggerak strategik untuk memfokuskan ekosistem penyelidikan dalam merealisasikan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, jelasnya.

KPM, tambah kenyataan itu, turut menyokong penyelidikan berkualiti yang menjana aktiviti pemindahan ilmu daripada akademia secara strategik melalui kolaborasi dengan pihak industri/agensi/antarabangsa. Ini selaras dengan perancangan geran penyelidikan PRGS Fasa 2 yang dijangka dibuka pada Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

"Geran ini akan memfokuskan kepada pembangunan prototaip ke arah memenuhi keperluan industri dan masyarakat dengan merapatkan jurang antara penemuan penyelidikan dan pengkomersialan," katanya.

Keterangan lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan Institusi Pengajian Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM di talian 03-8870 6970/ 6966/ 6974/ 6975 atau urusetiarnd@moe.gov.my. - Bernama