Kelantan belanja RM52.5 juta laksana projek awal

Laporan Sinar Harian 2 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian 2 Januari lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memaklumkan akan membelanjakan RM52.5 juta daripada bantuan 'one-off' berjumlah RM400 juta yang diterima daripada kerajaan Persekutuan untuk tiga projek utama membabitkan kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek permulaan daripada bantuan tersebut kerajaan akan memfokuskan kepada rumah dhuafat, menyelia jalan kampung dan bekalan air terawat.

Menurutnya, sebanyak RM400,000 dikhaskan untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pembinaan dan membaiki rumah dhuafat melibatkan 45 DUN di negeri ini.

“Keputusan penting yang dibuat hari ini menerusi mesyuarat Exco ialah pelaksanaan awal projek menggunakan bantuan one-off yang diberikan kerajaan Persekutuan.

“Peruntukan awal tersebut adalah langkah segera untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan agenda kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Menurutnya, pembinaan rumah dhuafat dikhaskan kepada keluarga kurang berkemampuan yang berpendapatan tidak melebihi RM1,000 sebulan.

“Pembinaan rumah tiga bilik bernilai lebih kurang RM40,000 seunit adalah berpandukan kepada rumah contoh daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad berkata, turut diberikan keutamaan ialah projek membaiki dan menyelia jalan-jalan kampung dengan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk setiap DUN.

“Projek terakhir adalah membelanjakan RM30 juta bagi kerja-kerja memulihkan bekalan air bersih di beberapa jajahan melibatkan Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, jajahan Bachok melibatkan Teluk Mesira dan Jelawat, Kota Bharu pula ialah di Kedai Buloh, Peroi dan Ketereh di Wakaf Baharu untuk jajahan Tumpat dan Meranti Baru untuk kawasan Pasir Mas.

Katanya, perbelanjaan yang disenaraikan tersebut akan dimaklumkan kepada kerajaan Persekutuan sebagaimana mengikut prosedur biasa.

"Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Pada 17 Disember tahun lalu, kerajaan negeri menerima surat khas daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pemberian wang 'one-off' berjumlah RM400 juta kepada Kelantan untuk ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan terima RM400 juta daripada Tun M

'Tuduhan guna RM400 juta beli Mercedes fitnah' - Pejabat MB Kelantan