Budak tercampak di lebuh raya stabil

A
A
A

SEREMBAN - Keadaan kanak-kanak berusia dua tahun, S Tisshaanth, yang tercampak keluar dari kereta dalam insiden membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 235.5 Lebuhraya Plus Arah Utara Isnin lalu kini berada dalam keadaan sihat.

Bapanya, K Satthiaseelan, 33, berkata, ketika kejadian dia bersama lima penumpang dalam kereta itu dalam perjalanan pulang ke Rantau dari Johor Bahru.

Katanya, anak kedua daripada lima beradik itu berada di pangkuan isterinya di tempat duduk penumpang bahagian depan sebelum tercampak keluar di tengah jalan.

"Pada mulanya saya memandu di lorong paling kanan tetapi sebuah kereta dari belakang memberi isyarat lampu tinggi dan saya kemudian cuba menukar laluan ke tengah. Belum sempat masuk ke laluan itu, kereta saya dirempuh.

"Akibatnya kenderaan saya hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi jalan sebelum menyedari anak lelaki saya tercampak keluar," katanya ketika menerima kunjungan Exco Kebajikan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nicole Tan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak tercampak atas lebuh raya

Bagaimanapun, Satthiaseelan bersyukur kerana kereta di belakangnya sempat berhenti dan tidak melanggar anaknya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nicole Tan kesal dengan kejadian yang membabitkan keselamatan kanak-kanak itu dan berharap kesedaran memakai kerusi kanak-kanak menjadi keutamaan ibu bapa.

"Itu pentingnya menggunakan kerusi kanak-kanak dalam kereta. Saya yakin jika anak ini memakai kerusi kanak-kanak, perkara sedemikian tidak akan berlaku," katanya.

Video kanak-kanak tercampak keluar dari kereta di tengah jalan di Lebuhraya Plus tular sehingga menimbulkan kecaman netizen yang mendakwa pintu kereta tidak ditutup rapat.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden budak tercampak: Pemandu Myvi direman tiga hari