Sheikh Al-Sudais kekal Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci

Sheikh Abdul Rahman al-Sudais -Foto reasahalharmain
Sheikh Abdul Rahman al-Sudais -Foto reasahalharmain
A
A
A

RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud semalam mengeluarkan dekri diraja melanjutkan perkhidmatan Sheikh Abdul Rahman al-Sudais sebagai Ketua Presiden untuk Hal Ehwal Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah untuk tempoh empat tahun lagi.

Susulan keputusan itu, Sheikh Abdul Rahman turut mengucapkan terima kasih kepada Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Masjid Suci dan Putera Mahkota, Putera Mohammed kerana memberi kepercayaan kepada beliau.

"Kami mendapat perhatian besar daripada pemerintah. Perhatian yang diberikan mereka membantu kami menjalankan tugas dengan mudah dan kompeten.

"Ia adalah selaras dengan garis panduan dan pemerhatian yang teliti terhadap kepimpinan yang bijaksana dalam berkhidmat kepada Dua Masjid Suci dan para penziarah dengan cara memenuhi aspirasi kepimpinan kerajaan.

"Langkah itu dibuat dengan menyediakan semua kakitangan badan ini dengan segala perkhidmatan diperlukan bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas sepenuhnya," kata Imam Besar Makkah itu lagi.

Dekri diraja itu juga menyebut pengurusan Dua Masjid Suci telah menggunakan teknologi dan mengembangkan operasi serta berjaya mengawal para jemaah, pengurusan peraturan dan memastikan keselamatan sejak dua tahun lalu.

Sheikh Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Presiden untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci oleh dekri diraja pada 8 Mei 2012.

Pada 1984, beliau menjadi imam secara rasmi ketika berusia 22 tahun dan menyampaikan khutbah pertama di Masjidil Haram di Makkah pada Julai 1984. - Agensi

Artikel Berkaitan: