'Tebing Barat tanah kami' - Netanyahu

Netanyahu (gambar kecil) merancang meluaskan lagi projek penempatan haram Yahudi selepas lebih 100 pos ditubuhkan sejak beberapa dekad lalu. Foto Agensi
Netanyahu (gambar kecil) merancang meluaskan lagi projek penempatan haram Yahudi selepas lebih 100 pos ditubuhkan sejak beberapa dekad lalu. Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mencetuskan kontroversi selepas berikrar untuk terus membina penempatan haram di Tebing Barat sebagai persediaan menghadapi gelombang besar imigrasi pendatang Yahudi ke Israel.

Sejak beberapa minggu lalu, rancangan peluasan projek penempatan haram Yahudi telah mencetuskan gelombang kecaman daripada negara-negara Arab dan rakan sekutu Barat.

"Tanah di Tebing Barat akan kekal milik kita. Pintu terbuka kepada setiap lelaki dan wanita Yahudi. Kami menanti anda. Kami sedang menyediakan laluan untuk gelombang besar Aliyah (imigrasi Yahudi ke Israel)," katanya dengan angkuh tanpa menghiraukan bantahan komuniti antarabangsa yang menyelar rancangan membawa kepada pendudukan wilayah milik Palestin.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada gelombang besar Aliyah seperti yang dicanangkan Netanyahu benar-benar akan berlaku.

Hal ini kerana, lebih 150,000 pendatang Yahudi meninggalkan Tel Aviv antara 2024 hingga 2025 selepas Perang Gaza meletus.

Minggu lalu, Israel membuka tender bagi pembinaan lebih 1,200 unit rumah di bawah projek penempatan E1 yang terletak di Baitulmaqdis Timur. Projek itu akan merangkumi lebih 3,400 unit rumah dan mendapat kelulusan kerajaan 'ekstremis' pimpinan Netanyahu tahun lalu.

Pelan E1 akan mewujudkan koridor darat antara Baitulmaqdis Timur dan penempatan haram sedia ada Ma’ale Adumim yang kedua-duanya dibina di atas tanah Palestin.

Projek itu juga akan memutuskan hubungan jalan raya antara bandar Ramallah dan Baitulaham yang didiami komuniti Palestin.

Netanyahu semakin lantang menguar-uarkan hasratnya untuk mengilhak seluruh Tebing Barat dalam usaha meraih semula sokongan sekutunya menjelang pilihan raya pada Oktober depan berikutan popularitinya kian merosot. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!