Kenyataan ugut Tok Batin terdesak: Pemuda Umno

Mohd Farid bersama Pemuda Umno Pahang selepas membuat laporan polis, hari ini.
Mohd Farid bersama Pemuda Umno Pahang selepas membuat laporan polis, hari ini.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pemuda Umno Pahang menyifatkan tindakan wakil kerajaan mengugut Tok Batin di kawasan ini sebagai terdesak.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor berkata, pihaknya kecewa dengan perkara itu dan sekiranya tidak dibendung ia akan menjurus kepada penyalahgunaan kuasa.

"Kami kecewa dengan tindakan terdesak ahli parti pemerintah yang tergamak melakukan ugutan kepada pemimpin masyarakat setempat.

"Sekiranya perkara ini tidak dibendung ia akan menjadi gejala penyalahgunaan kuasa yang ketara dan Pemuda Umno Pahang serta Pemuda Umno Malaysia tidak akan berdiam diri membiarkan rakyat terus ditekan oleh tindakan regim yang menolak demokrasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Rata kira-kira jam 6.30 petang.

Tegasnya, pengundi di kawasan Parlimen ini bebas memilih wakil rakyat tanpa sebarang tekanan.

"Kami mengharapkan pihak polis dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan mengambil tindakan tegas terhadap Senator Bob Manolan Mohamad," katanya.

Hari ini, Bob Manalon dalam satu sesi dialog di Pos Betau Jelai bersama ketua-ketua Orang Asli dilaporkan berkata Tok Batin bakal berdepan kehilangan gaji sekiranya tidak menyokong kerajaan pusat.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana Batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

“Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia,” katanya lapor portal Malaysiakini.

Bob Manolan merupakan wakil komuniti Orang Asli di Dewan Negara.

Kenyataan berbaur ugutan itu dibidas kawan dan lawan sejurus ia dilaporkan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Biro Agama PKR, Wan Ji Wan Hussin.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan Bon Manilan dengan menuntut penjelasan berhubung tindakannya yang telah mengguris hati dan perasaan pemimpin tempatan terbabit.

Selepas dikritik kiri dan kanan, Bob Manolan kemudiannya tampil menjelaskan bahawa kenyataannya disalah tafsir oleh portal tersebut.

Katanya, kenyataan sebenar merujuk kepada peranan Tok Batin yang tidak seharusnya memegang jawatan Tok Batin dan pada masa yang sama masih mengambil jawatan dalam parti Umno.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ugut tak bayar gaji tok batin, Senator PKR dibidas kawan, lawan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Anwar mahu Bob Manolan beri penjelasan]