China diramal rugi RM256 bilion akibat koronavirus

Keadaan jalan utama di Wuhan yang lengang tanpa kenderaan selepas kesemua jenis pengangkutan digantung di bandar tersebut. Premis perniagaan juga lengang tanpa pengunjung akibat kebimbangan semakin meningkat terhadap jangkitan koronavirus tersebut. - AFP
Keadaan jalan utama di Wuhan yang lengang tanpa kenderaan selepas kesemua jenis pengangkutan digantung di bandar tersebut. Premis perniagaan juga lengang tanpa pengunjung akibat kebimbangan semakin meningkat terhadap jangkitan koronavirus tersebut. - AFP
A
A
A

BEIJING - Hampir dua dekad lalu, koronavirus atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang berasal dari wilayah Guangdong pada November 2002 menyerang China dan meragut hampir 800 nyawa hingga mencetuskan panik yang turut memberi kesan kepada ekonomi global.

Data Biro Negara Statistik China menunjukkan gangguan aktiviti ekonomi ketika penularan wabak SARS mengakibatkan pertumbuhan ekonomi daripada 11.1 peratus pada suku pertama 2003 menurun kepada 9.1 peratus dalam tempoh tiga bulan berikutnya.

Koronavirus baharu, 2019-nCoV yang merebak ke seluruh China dan kira-kira 25 negara kini dikhuatiri memberi impak lebih besar berikutan penularan wabak itu berlaku pada kadar enam kali ganda lebih cepat berbanding SARS selain jumlah kes kematian kini sudah melebihi 1,000 kes.

Beijing telah menjadi sebahagian daripada perniagaan global yang amat diperlukan sejak wabak SARS pada 2003 dan kini berkembang menjadi 'kilang dunia' yang menghasilkan produk seperti iPhone dan memacu permintaan komoditi seperti minyak dan tembaga.

Pada 2003, ekonomi China menyumbang hampir empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia dan kini ia membentuk 16 peratus daripada keluaran global.

Serangan wabak membawa maut itu dijangka memperlahankan lagi ekonomi China secara drastik pada suku pertama tahun ini memandangkan kebanyakan kilang dan kedai termasuk premis menjual barangan jenama mewah menggantung operasi mereka sejak sambutan Tahun Baru Cina lalu.

Situasi yang tidak pasti menyebabkan kebanyakan syarikat terpaksa memberhentikan pekerja manakala pekerja perusahaan kecil dan sederhana diberi cuti tanpa gaji serta ada kakitangan yang disarankan bekerja dari rumah.

Artikel Berkaitan:

China merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.
China merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Selain itu, sektor pelancongan, pengangkutan dan peruncitan di seluruh negara itu paling terkesan kerana langkah kuarantin dan sekatan yang dilaksanakan bertujuan untuk membendung penularan koronavirus.

Beberapa negara telah mengeluarkan amaran perjalanan ke China yang turut menyaksikan puluhan syarikat penerbangan antarabangsa menggantung perkhidmatan ke Beijing.

Kelmarin, data rasmi menunjukkan harga pengguna meningkat pada kadar paling tinggi dalam tempoh lebih lapan tahun yang dicatatkan sebanyak 5.5 peratus pada Oktober 2011.

Difahamkan, Beijing sudah bergelut dengan ekonomi domestik yang perlahan sebelum serangan wabak koronavirus tersebut.

Indeks Harga Pengguna (CPI) yang merupakan pengukur inflasi runcit utama mencatatkan 5.4 peratus pada bulan lalu yang menunjukkan peningkatan daripada 4.5 peratus pada Disember 2019 dengan harga makanan meningkat sebanyak 20.6 peratus.

Impak koronavirus tersebut terhadap ekonomi bagaimanapun masih sukar untuk ditentukan walaupun beberapa ahli ekonomi meramalkan kadar pertumbuhan China dijangka menurun kepada dua mata peratusan pada suku tahun ini atau mencatatkan kerugian berjumlah kira-kira AS$62 bilion (RM256 bilion).

Pertumbuhan ekonomi tahun lalu adalah paling lemah dalam tempoh tiga dekad akibat bebanan hutang dan kesan perang perdagangan yang tercetus dengan Amerika Syarikat (AS).

Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman koronavirus tersebut, Beijing telah memberi suntikan luar biasa AS$173 bilion (RM715 bilion) kepada sistem kewangan untuk memastikan pasaran wang domestik dan sistem perbankan terus berfungsi. - Agensi

Penularan wabak itu berlaku pada kadar enam kali ganda lebih cepat berbanding SARS selain jumlah kes kematian kini sudah melebihi 1,000 kes.
Penularan wabak itu berlaku pada kadar enam kali ganda lebih cepat berbanding SARS selain jumlah kes kematian kini sudah melebihi 1,000 kes.

INFO

-Ancaman koronavirus memaksa penutupan operasi pengeluar kereta global seperti Volkswagen, Toyota, Daimler, General Motors (GM), Renault, Honda dan Hyundai.

-Syarikat gergasi seperti Google, Amazon dan Microsoft juga menutup pejabat mereka sebagai langkah berjaga-jaga.

-Beberapa restoran terkenal termasuk Starbucks menutup separuh daripada rangkaian mereka di China. McDonald's juga menghentikan operasi ratusan rangkaian restoran mereka di wilayah Hubei.

-Disneyland yang menjadi tarikan pelancong adalah antara firma terawal yang menutup premis mereka di China dan Hong Kong.

-Tahun lalu, laporan WHO mengesan 1,483 epidemik di 172 negara antara 2011 dan 2018.

-Kos paling mahal dalam sejarah melibatkan wabak SARS pada 2003 menyebabkan kerugian AS$40 bilion (RM165 bilion) dan AS$55 bilion (RM227 bilion) ketika serangan selesema babi H1N1 pada 2009 di China.

-Wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014 dan 2016 mengakibatkan kerugian AS$53 bilion (RM219 bilion) kepada sektor sosial dan ekonomi.