X

Kindly register in order to view this article
!

Bayar penuh kos haji bukan jaminan rayuan diterima: Mujahid

MUJAHID. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A

PUTRAJAYA - Memilih untuk membayar penuh RM22,900 bagi kos menunaikan haji bukan jaminan permohonan rayuan bakal jemaah pada musim 1441H/2020M diterima Lembaga Tabung Haji (TH), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof hari ini.

Mengulas isu 'Borang Rayuan Haji' yang antara lain meminta individu membuat perakuan persetujuan sama ada secara sukarela bersetuju atau tidak untuk membayar penuh kos itu tanpa Bantuan Haji TH, Mujahid berkata, perkara itu telah dipolitikkan oleh pembangkang.

"Merit rayuan tertakluk kepada beberapa kriteria yang menjadi keutamaan pertimbangan TH, sama ada seseorang itu memutuskan untuk membayar secara penuh atau tidak, bukanlah menjadi kriteria.

"Mereka yang diberi keutamaan adalah yang merayu sebagai 'mahram', atau warga tua berumur 70 tahun ke atas dan pembantu mereka, serta mereka yang telah dipilih untuk menunaikan haji pada tahun sebelumnya tetapi terpaksa menangguhkannya," kata beliau pada sidang media hari ini.

Mujahid berkata, orang kurang upaya dan mualaf turut menjadi keutamaan untuk dipilih.

Jemaah haji muassasah TH kekal membayar RM9,980 bagi musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kebanyakan orang tidak tahu bahawa kos sebenar menunaikan haji ialah RM22,900, baki RM12,920 ditanggung TH dan ada yang mampu membayar kos penuh tersebut tanpa sebarang masalah.

“Kita hanya memberi pilihan kepada orang ramai sama ada ingin membayar penuh atau hanya RM9,980 (dengan bantuan haji). Itu pilihan mereka kerana ada yang mampu membayar RM22,900 tetapi memilih untuk membayar RM9,980 yang pada saya tidak wajar," katanya.

Mengakui pembangkang mengambil kesempatan untuk mengelirukan orang ramai, Mujahid berkata, bakal jemaah seharusnya menyedari kos untuk menunaikan haji semakin meningkat dan tidak akan turun.

Katanya, ini adalah pilihan yang diberikan kepada bakal jemaah terutamanya mereka yang mampu untuk membayar penuh.

Baru-baru ini, terdapat pihak yang mempersoalkan rasional perakuan untuk ditandakan persetujuan sama ada secara sukarela bersetuju atau tidak untuk membayar penuh kos RM22,900 tanpa Bantuan Haji TH sehingga mewujudkan persepsi bahawa TH hanya akan mempertimbangkan mereka yang membayar penuh mengakibatkan orang ramai keliru.

Terdahulu, Mujahid melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji hasil kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan TH dan Visa yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif kepada pemegang kad.

Kad debit-i itu merupakan kad eksklusif yang menawarkan pelbagai ganjaran tambahan termasuk pengecualian caj pengeluaran tunai di Arab Saudi ketika musim haji, tambang khas bagi perkhidmatan KLIA Ekspres serta diskaun eksklusif pakej TH Travel & Services. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!