Bakal jemaah haji minta turun pesawat, lupa beri ayam makan

Juhani menghampiri pramugari dan memberitahu terlupa memberi makan ayam peliharaannya. - Foto Agensi
Juhani menghampiri pramugari dan memberitahu terlupa memberi makan ayam peliharaannya. - Foto Agensi
A
A
A

BANDUNG - Gara-gara terlupa memberi ayam peliharaannya makan, seorang bakal jemaah haji dari Indonesia meminta kebenaran untuk turun daripada pesawat yang sedang dalam perjalanan ke Tanah Suci Makkah baru-baru ini.

Gelagat Juhani, 95, dari daerah Majalengka, Jawa Barat itu tular dan dikongsi secara meluas pengguna media sosial di Indonesia.

Kejadian itu dirakam seorang petugas haji, Yuyud Aspiyudin dan dimuat naik di laman Facebook.

Menurut Yuyud, kejadian menggelikan hati itu berlaku ketika pesawat hampir mendarat di Madinah.

"Ketika hampir mendarat, pakcik Juhani tiba-tiba bangun dan menyatakan dia teringat bahawa ayam ternakannya belum diberi makan.

"Dia cuba memberitahu pramugari, namun kru pesawat itu tidak memahami apa yang cuba disampaikannya.

"Penumpang lain pula hanya tertawa melihat gelagat pakcik Juhani," kata Yuyud.

Selepas diperiksa, didapati warga emas tersebut kerap bercerita mengenai ayam kepada bakal jemaah lain.

Mengenai keadaan kesihatan Juhani, Tenaga Kesehatan Haji (TKH) Kloter KJT 1, Dr Amalia Pratiwi D berkata, warga emas itu mengalami kegelisahan kerana kali pertama menaiki pesawat.

Bukan itu saja, Juhani tidak mahu duduk dan terus mundar-mandir ke depan dan belakang pesawat.

Dia juga disahkan mengalami demensia atau susut daya ingatan.

"Alhamdulillah, pakcik Juhani lebih tenang sekarang dan sedar yang dia akan menunaikan ibadah haji," kata Dr Amalia. - Agensi