Penerima mySalam dijangkiti koronavirus layak buat tuntutan

mySalam
mySalam
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bagi yang layak mendapatkan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional mySalam yang didapati dijangkiti koronavirus mereka layak menuntut bayaran gantian hilang pendapatan yang bernilai RM50 sehari sehingga 14 hari.

Seorang pegawai Kementerian Kewangan berkata demikian semasa menjawab soalan media sama ada skim itu meliputi mereka yang dijangkiti koronavirus ketika ditemui di majlis pelancaran skim mySalam lanjutan di sini hari ini.

Pegawai itu turut mengatakan bahawa sekiranya pesakit itu dimasukkan ke wad akibat komplikasi koronavirus, mereka boleh membuat tuntutan bagi penyakit kritikal yang melibatkan pembayaran 'one off' berjumlah RM8,000.

Sementara itu skim mySalam lanjutan yang berkuat kuasa 1 Januari lepas meliputi sembilan lagi penyakit kritikal termasuk polio, menjadikan jumlah penyakit yang diliputi kini adalah 45.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa majlis pelancaran itu berkata, skim lanjutan itu turut melibatkan peningkatan had umur kepada 65 daripada 55 sebelum ini, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang bujang dan orang kurang upaya dan kini termasuk kumpulan M40 dengan pendapatan kasar tahunan RM100,000 dan ke bawah.

Antara yang hadir di majlis pelancaran itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan timbalannya Dr Lee Boon Chye serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah. - Bernama

Artikel Berkaitan: