X

Kindly register in order to view this article
!

Pas matikan langkah musuh Tun M

A
A

Sekitar dua minggu lalu, telah muncul mesej tular kononnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa mereka daripada parti pembangkang untuk menubuhkan Pakatan Nasional.

Kononnya Dr Mahathir bersama pemimpin daripada parti-parti Bersatu, UMNO, Pas, sebahagian pemimpin PKR dan parti komponen Barisan Nasional akan menubuhkan kerajaan baharu. Gosip itu tampak meyakinkan kerana beberapa hari sebelum itu muncul foto pemimpin Pas yang diketuai oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membuat kunjungan ke kediaman Dr Mahathir. Para peminat politik terus membina gosip yang menarik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam turut menghidupkan khabar kerjasama itu. Dalam hantaran video di Facebook, beliau mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi membentuk satu pakatan baharu’.

Sudah tentu keadaan itu menimbulkan kegusaran mereka dalam Pakatan Harapan (PH). Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pakatan itu sebagai ‘berita tidak betul’ dan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap ia adalah propaganda pembangkang. Akhirnya Dr Mahathir bersuara. Beliau langsung menafikan bahawa beliau ada mempelawa UMNO menubuhkan Pakatan Nasional.

Jadi, apa ceritanya? Mengapa muncul pula gosip penubuhan Pakatan Nasional ini setelah beberapa orang pemimpin PKR menetapkan penyerahan jawatan Perdana Menteri dibuat oleh Dr Mahathir pada Mei akan datang? Apakah ia hanya spekulasi golongan pembawang politik yang mengandaikan bahawa Dr Mahathir tidak akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar?

Yang menariknya, Dr Mahathir dan Anwar masih melayan soalan para wartawan mengenai tempoh beliau melepaskan jawatan. Dr Mahathir kata akan tetap serahkan dan Anwar kata sanggup tunggu. Kedua-duanya boleh sahaja tidak melayan apa jua soalan yang berkaitan dengan penyerahan jawatan. Larang sahaja wartawan bertanya soalan itu habis cerita! Sebaliknya mengapa masih melayan spekulasi itu?

Kerana itu adalah menarik dan nakal apabila Pas, melalui Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat cadangan akan mengusulkan ‘undi percaya’ kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri di sidang Parlimen akan datang. Malah, Pas kelihatan serius dengan rancangannya itu apabila bercadang berbincang dengan UMNO mengenai usul itu.

Sebelum ini, pernah timbul khabar angin bahawa akan timbul usul ‘undi tidak percaya’ kepada Dr Mahathir pada sidang Parlimen lalu. Malah, lazimnya ‘undi tidak percayalah’ yang menjadi usul. Usul Pas itu jika diluluskan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat akan punyai kesan yang serupa.

Di sebalik hasrat ingin menunjukkan sokongan terhadap kepimpinan Dr Mahathir, statistik hasil daripada usul itu sendiri akan menunjukkan berapa ‘undi percaya’ dan berapa pula ‘undi tidak percaya’ yang akan diterima oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Seandainya Dr Mahathir mendapat majoriti ‘undi percaya’ ia menunjukkan kehebatan beliau lebih-lebih lagi kerana menerima sokongan sebahagian besar pembangkang. Dalam pada itu, apakah ramai ahli Parlimen yang tidak mahu menyokong usul itu sebagai isyarat ia ‘undi tidak percaya’?

Yang penting, usul Pas itu telah pre-empt usul yang sebaliknya sekiranya ada. Yang penting juga, Dr Mahathir akan mendapat undi rasmi ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya terus menjadi Perdana Menteri. Inilah kuasa Dewan Rakyat yang Dr Mahathir maksudkan!


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus