Samun guna pistol mainan, tiga penuntut kolej ditahan

Pistol mainan yang digunakan empat penjenayah ketika menyamun sebuah kedai makan di USJ 18/9 di sini semalam.
Pistol mainan yang digunakan empat penjenayah ketika menyamun sebuah kedai makan di USJ 18/9 di sini semalam.
A
A
A

SUBANG JAYA- Tiga penuntut kolej antara empat yang ditahan selepas menyamun sebuah kedai makan di USJ 18/9, di sini menggunakan pistol mainan semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, juruwang premis terbabit didatangi empat lelaki sebelum seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, suspek kemudian mengambil dua kotak rokok.

Menurutnya, pekerja lain dan pelanggan yang terkejut dengan insiden bertindak memberi bantuan hingga berlaku pergelutan.

“Suspek berusia lingkungan 20-an yang memegang pistol berjaya ditahan orang ramai di lokasi kejadian manakala tiga lagi rakannya melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Semakan lanjut mendapati senjata digunakan adalah pistol mainan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Risikin berkata, hasil maklumat lanjut, polis menahan tiga lagi suspek masing-masing di Taman Alam Indah dan Taman Megah Seksyen 28, Shah Alam awal pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Risikin
Risikin

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiganya adalah penuntut kolej berusia lingkungan 20-an.

Katanya, polis merampas sepucuk pistol plastik mainan warna hitam, dua botol mengandungi 100 butir peluru plastik, dua kotak rokok dan sebuah kereta Kancil yang digunakan untuk melarikan diri.

“Hasil soal siasat awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian ini. Siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti peranan setiap suspek dalam kes ini dan penglibatan dalam kes yang lain.

“Keempat-empat suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kesemua mereka akan direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tiruan.