Serah memorandum PPSMI: Lima individu beri keterangan

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kiri) bersama lima individu yang lain di panggil beri keterangan di IPD Putrajaya hari ini berhubung penyerahan memorandum PPSMI kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari Jumaat yang lalu.
Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kiri) bersama lima individu yang lain di panggil beri keterangan di IPD Putrajaya hari ini berhubung penyerahan memorandum PPSMI kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari Jumaat yang lalu. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai lima individu termasuk Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini, hari ini untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Selain Mohd Zai, Penasihat Persatuan Linguistik Bahasa Malaysia, Datuk Awang Sariyan, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Kamal Shukri Abdullah dan Wan Ramli Wan Daud turut dirakam keterangan.

Mereka hadir bersama dua peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa pada jam 2.30 petang.

Kesemua individu itu dirakam keterangan bagi membantu siasatan susulan penyerahan memorandum bantah pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Jumaat lalu.

Mohd Khairul Azam berkata, penyerahan memorandum itu dilakukan selepas solat Jumaat.

"Kesemua individu itu berjalan dalam keadaan aman dari Masjid Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum tersebut," katanya dalam sidang media selepas kesemua individu itu memberi keterangan kepada polis selama tiga jam.

Beliau berkata, kesemua individu itu telah memberi kerjasama bagi membantu siasatan.

"Kita berharap pihak polis turut menghormati kebebasan berhimpun dan bersuara rakyat Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan sebelum ini memaklumkan kerajaan belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pelaksanaan semula PPSMI.

Beliau hanya memberi penerangan mengenai perkara itu kepada pegawai kerajaan dan tidak tahu bagaimana ia dibocorkan kepada umum seolah-olah kerajaan sudah membuat keputusan.

Dr Mahathir berkata, walaupun Sains boleh dipelajari dalam bahasa ibunda, ia bukanlah ilmu yang statik seperti seperti Sejarah dan Geografi, justeru pelajar akan lebih menguasai ilmu itu jika dipelajari dalam bahasa Inggeris.

Katanya, Inggeris adalah bahasa yang kerap digunakan dalam industri dan persidangan sains sekali gus menyebabkan mereka yang tidak menguasai bahasa Inggeris sukar memahami arahan.