'Kenyataan Guan Eng berbahaya kepada keharmonian kaum'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Pas menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa Malaysia akan kembali ke zaman gelap sekiranya kerjasama politik Pakatan Nasional menjadi kenyataan adalah sangat berbahaya, menghasut dan boleh menimbulkan provokasi kaum.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata, kenyataan seperti itu bukanlah kali pertama dikeluarkan Guan Eng.

Menurutnya, pada bulan Mac tahun lalu, Guan Eng pernah menyifatkan kerjasama Pas dan UMNO umpama mengisytiharkan perang terhadap orang bukan Islam.

“Kemudian, pada Konvensyen Tahunan DAP Johor di Muar pada 3 November 2019, Guan Eng juga mendakwa pemerintahan yang diterajui oleh Pas dan UMNO akan menafikan hak asasi orang bukan Islam.

“Saya mencadangkan Guan Eng disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

"Perkara ini sangat serius dan tidak wajar dikeluarkan oleh seorang menteri. Guan Eng mesti dipecat sebagai anggota Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, Guan Eng perlu mendalami sejarah berikutan sikap ditunjukkan itu hanya akan mencetuskan konflik perkauman.

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng dakwa Pakatan Nasional ancam Perlembagaan

Semalam, Guan Eng dalam satu kenyataan mendakwa, gagasan Pakatan Nasional yang dijangka didominasi oleh orang Islam akan memberi ancaman bahaya secara terbuka kepada orang bukan Islam, Perlembagaan Persekutuan dan institusi demokrasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penubuhan Pakatan Nasional akan mengundang bahaya kepada cara hidup rakyat negara ini bersandarkan kenyataan beberapa pemimpin Pas secara terang menolak pelantikan pemimpin bukan Islam sebagai menteri Kabinet terutama jawatan penting seperti Menteri Kewangan meskipun tiada halangan dalam Perlembagaan Persekutuan.