UMNO belum buat keputusan usul undi percaya kepada Dr Mahathir

Mohamad ditemui media selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
Mohamad ditemui media selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang keputusan daripada UMNO berhubung cadangan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan dibuat sebaik usul tersebut dikemukakan di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini UMNO mengambil maklum mengenai cadangan Pas itu dan akan dibincangkan di peringkat parti.

Menurutnya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membentangkan cadangan usul berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

"Itu tadi dibentangkan pihak Pas oleh YB Tuan Ibrahim. Kita pun nak tahu apa bendanya.

"Kita akan buat keputusan bila sampai masanya. Kita hanya ambil maklum, memandangkan usul itu belum dibawa lagi.

"Saya di peringkat UMNO akan bawa apa yang dibentangkan Pas ke parti saya (UMNO). Sebarang keputusan akan dibuat bila benda itu berlaku," katanya kepada media selepas tamat mesyuarat tersebut di sini.

Hadir sama pada mesyuarat itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas, Kamarulzaman Ahmad dan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng dakwa Pakatan Nasional ancam Perlembagaan

Kelmarin, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, pembentangan usul undi percaya itu diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kepimpinan Pusat Pas pada mesyuarat bulanan pada Sabtu lepas.

Sementara itu Dr Mahathir semalam menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui apa Pas akan lakukan susulan bercadang membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinannya.

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada Pas berhubung perkara tersebut.

"Saya sudah menjadi Perdana Menteri, jika mereka mahu sokong saya, terima kasihlah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog dengan komuniti perniagaan Perancis di Malaysia di Cyberjaya.