Tiada komen selagi tak terima usul, kata Speaker Dewan Rakyat

Mohamad Ariff
Mohamad Ariff
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menegaskan pihaknya tidak boleh memberi sebarang komen berhubung hasrat pihak-pihak tertentu yang mahu mengemukakan usul percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat bulan depan.

"Saya tiada komen sehingga usul diterima dan keputusan dibuat oleh saya.

"Nanti disalah tafsir!" katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Pas dilaporkan mahu mengemukakan usul percaya terhadap Dr Mahathir bagi menyatakan pendirian asal parti Islam itu yang mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.

Usul percaya itu dijangka akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada Sidang Dewan Rakyat bulan depan.

Pendirian itu difahamkan mengambil kira soal kepentingan rakyat dan negara selain jawatan Perdana menteri adalah posisi yang sangat penting bagi menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tetap sokong kepimpinan Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau tidak tahu apa yang Pas akan lakukan susulan laporan bahawa parti itu bercadang membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinannya, namun mengucapkan terima kasih kepada parti berkenaan berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah menjadi Perdana Menteri, jika mereka mahu sokong saya, terima kasihlah," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian, ketika diminta mengulas keputusan Pas untuk membentangkan usul undi percaya terhadap kepimpinan beliau di Dewan Rakyat bulan depan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan sebagai berkata, pembentangan usul undi percaya itu diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kepimpinan Pusat Pas pada mesyuarat bulanan pada Sabtu lepas.