Apabila timbulnya ‘penyakit panik’

Sosial media -Foto 123rf
Sosial media -Foto 123rf
A
A
A

CAPAIAN maklumat yang semakin pantas dan mudah didapati pada masa kini sering mencetuskan pelbagai emosi dalam kalangan masyarakat.

Jika dahulu, orang ramai hanya mendapat berita daripada medium yang sangat terhad, tetapi hari ini berita datang dalam berbagai bentuk malah tersebar meluas di merata platform media sosial.

Lebih cepat berita itu diterima, lebih pantaslah orang ramai bertindak. Apabila berlaku sesuatu yang boleh mengganggu gugat emosi mereka, maka timbullah ‘penyakit’ panik.

Panik menyebabkan orang ramai mengambil tindakan drastik menyebarluaskan berita dengan menokok tambah maklumat yang akhirnya tercetusnya pembelian panik jika ia berkait rapat dengan keperluan harian mereka.

Isu air, misalnya, maka berbondong-bondonglah manusia berebut mahu mendapatkan bekas plastik di kedai-kedai jika digemparkan dengan berita terputus bekalan.

Berpusu-pusulah orang ramai membeli gula atau minyak masak jika tersebar berita barangan mentah itu tidak ada di pasaran.

Dalam hal berkaitan penyakit berjangkit pula, ramai bertindak drastik mendapatkan imunisasi, ubat atau topeng muka apabila dikejutkan dengan penularan wabak seperti influenza, H1N1 dan terbaru, koronavirus.

Rakyat dikatakan terburu-buru dan panik, sehinggakan banyak pihak termasuk kerajaan terpaksa berkali-kali mengeluarkan kenyataan supaya bertenang, jangan panik!

Artikel Berkaitan:

Dalam kes koronavirus, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengeluarkan kenyataan dan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik dengan mendapatkan topeng muka dalam jumlah yang besar kerana ia akan menimbulkan keresahan orang lain.

Adakah benar rakyat Malaysia mudah panik?

Pakar Psikiatri Indonesia, Danardi Sosrosumihardjo berkata, panik sebenarnya ketakutan dengan sesuatu yang tidak jelas, sedangkan takut memiliki sumber ketakutan yang jelas ada di depan mata.

Tidak rasionalKatanya, kajian juga mendapati panik lebih bersifat tidak rasional kerana tidak memiliki alasan ataupun objek perasaan yang jelas seperti terawang-awang ataupun belum pasti keadaannya sedangkan takut bersifat lebih rasional kerana memiliki objek yang nyata.

Dari sudut saintifik, panik diterjemahkan sebagai perasaan takut secara tiba-tiba yang begitu kuat sehingga menguasai atau menghalang pemikiran waras dan logik, menggantikannya dengan perasaan cemas yang amat melampau dan gelisah tergesa-gesa.

Manusia terdedah kepada panik dan ia sering dianggap berjangkit iaitu dalam keadaan panik perasaan seseorang itu mungkin mudah merebak kepada orang lain, malah membesar dalam seluruh kumpulan sehingga bertindak secara tidak rasional, namun seseorang juga mempunyai keupayaan untuk mencegah atau mengawal panik mereka sendiri atau orang lain melalui asas pemikiran yang logik dan berdisiplin.

Dalam isu pembelian panik, ramai yang tidak bersetuju istilah panik digunakan. Netizen menolak pandangan pak menteri yang meminta supaya orang ramai jangan terburu-buru, jangan panik hingga membeli dalam kuantiti yang banyak.

Mereka berpendapat pembelian segera dan lebih daripada biasa wajar dibuat supaya kehidupan harian tidak terjejas, apatah lagi jika berkait soal kesihatan dan nyawa.

Pendapat netizen itu sedikit sebanyak relevan dengan keperluan semasa pengguna kerana pembelian panik berlaku apabila dengan jelas dan isu yang dibangkitkan benar-benar nyata, bukan lagi desas-desus.

Sebagai contoh, masalah bekalan air terputus masih berlaku hingga kini; setiap kali timbul isu kenaikan harga barang, bahan mentah memang tiada di pasaran. Situasi itu memang wujud!

Begitu juga dengan isu topeng muka, orang ramai terpaksa membeli lebih daripada biasa kerana keperluan. Digunakan untuk keluar ke tempat kerja atau untuk anak-anak ke sekolah.

Apatah lagi bagi yang mempunyai masalah kesihatan, sudah pasti ia menjadi sangat-sangat perlu. Jadi, tindakan itu boleh dianggap sebagai kebimbangan yang realistik, bukan panik.

Bagaimanapun, peniaga jangan ambil kesempatan. Berlaku jujur dalam urusan mengawal aliran bekalan dan harga, jangan sampai menindas pengguna. Pengguna pula perlu bijak dalam mengurus selia emosi.