PDRM ada cara bayar tunggakan gaji

Zulkefly Yahya
Zulkefly Yahya
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) tidak akan menggunakan wang hak penyiaran yang bakal diagihkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk melunaskan tunggakan gaji pemain skuad The Cops.

Sebaliknya, Setiausaha Kehormat PDRM FA, Zulkefly Yahya berkata, wang tersebut akan digunakan untuk menguruskan pasukan dan pihaknya mempunyai mekanisme lain bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

“Wang tersebut (hak penyiaran) akan kita gunakan untuk menguruskan pasukan musim ini. Untuk hutang gaji pemain, kita ada cara lain untuk bayar balik,” katanya kepada Sinar Harian.

PDRM sebelum ini telah dikenakan pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain selepas tarikh akhir pada 31 Januari lalu.

Sekiranya mereka masih gagal melunaskan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian dengan pemain terlibat sehingga 28 Februari ini, PDRM bakal dikenakan pemotongan enam mata.

Kelmarin, Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) mengesahkan penajaan dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) selama tiga tahun mulai musim ini.

Dengan termeterainya perjanjian antara TM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu, kesemua 24 pasukan yang bersaing dalam Liga-M bakal mendapat agihan wang hak penyiaran masing-masing.

Biarpun masih belum diputuskan MFL, Zulkefly berkata, pihaknya menjangkakan akan menerima sekurang-kurangnya RM1 juta bagi wang hak penyiaran musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Pihak MFL memang masih belum memberitahu kami jumlah sebenar wang hak penyiaran tersebut tetapi kami yakin ia sekitar RM1 juta. Apapun Alhamdulillah, kita sangat gembira dan ia berita baik dengan MFL begitu komited akan membantu menerusi wang hak penyiaran,” ujarnya.