Audio konspirasi: Polis rekod keterangan Najib, Rosmah masa terdekat

Mahkamah meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan galeri awam ketika perbicaraan melibatkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mahkamah meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan galeri awam ketika perbicaraan melibatkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, selain Najib dan Rosmah, pihaknya juga akan merekod keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkefly Ahmad.

"Setakat ini, seramai 12 saksi yang dikenal pasti dalam rakaman audio itu telah dirakam keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

"Antara yang direkod keterangan adalah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan audio konspirasi jenayah tertinggi melibatkan rakaman perbualan telefon tujuh individu termasuk Najib.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, rakaman berdurasi 45 minit itu diterima pihaknya adalah melibatkan salah guna kuasa, konspirasi, jenayah berhubung skandal mega SRC International Sdn Bhd dan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam perkembangan lain, seramai 15 saksi telah dirakam keterangan berhubung siasatan akuan bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azilah Hadri yang mendakwa Najib mengarahkannya untuk membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

"Saksi-saksi lain yang telah dikenal pasti akan dipanggil dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan, sebelum permohonan Azilah untuk mengkaji semula hukuman mati terhadapnya (difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijadualkan didengar pada 20 April 2020)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam SD bertarikh 17 Oktober lalu itu, Azilah mendakwa Najib ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkannya supaya membunuh Altantuya dan menghapuskan mayatnya.

Azilah mendakwa arahan itu diberikan secara lisan ketika bertemu dengan Najib dalam satu pertemuan pada 17 Oktober 2006 di Pekan, Pahang.

Beliau turut mendakwa arahan supaya mayat wanita Mongolia itu perlu dihapuskan kerana mangsa didakwa seorang perisik yang boleh mengancam keselamatan negara.