Kes dera: Ibu tiri, bapa direman tujuh hari

Pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.
Pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pasangan suami isteri yang disyaki terbabit mendera anak mereka sehingga mendatangkan kecederaan serius di bahagian muka direman tujuh hari bermula hari ini.

Kedua-duanya iaitu ibu tiri dan bapa kandung mangsa berusia 38 dan 36 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini jam 10 pagi tadi dengan diiringi anggota dan pegawai polis.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Nor Hapipah Abdullah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pasangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati bapa mangsa positif dadah jenis methamphetamine.

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dipercayai didera ibu tirinya berjaya diselamatkan dalam kejadian di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini.

Kanak-kanak itu diselamatkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Tamilar Kural selepas mereka menerima laporan daripada penduduk di perumahan berkenaan yang sering mendengar tangisan kanak-kanak itu sejak seminggu lalu.

Penduduk mengesyaki kanak-kanak itu dipukul ibu tirinya selain selalu mendengar dia dimarahi wanita berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketika diselamatkan petang semalam, kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan ketakutan dan trauma selain terdapat kesan kecederaan di muka sehingga kedua-dua belah matanya tidak boleh dibuka.

Pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai perubatan Hospital Seberang Jaya mendapati mangsa mengalami bengkak di kedua-dua mata, lebam di bahagian tangan selain terdapat beberapa parut lama di bahagian kaki dan tangan kanak-kanak berkenaan.

Nik Ros Azhan sebelum ini berkata, ibu tiri mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau kerana mencuri manakala bapa kandungnya yang bekerja sebagai mekanik mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tinggal bersama ibu tiri dan bapa sejak tahun lalu manakala ibu kandungnya kini ditahan di penjara.

"Dia disyaki didera sejak setahun lalu oleh ibu tiri menggunakan objek tumpul seperti topi keledar, kayu dan penyangkut baju.

"Mangsa kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya dan akan menjalani imbasan x-ray dan pemeriksaan CT Brain oleh pakar kanak-kanak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Setahun derita didera ibu tiri