Dua remaja miliki syabu langgar kereta polis

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TAWAU - Polis Tawau menahan dua remaja lelaki tingkatan lima selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dan melanggar kereta peronda polis dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas di sini jam 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kedua-dua remaja yang bersekolah di daerah itu ditahan bersama kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux Revo yang dinaiki mereka dengan bantuan anggota pasukan khas ‘Strike Team’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Beliau berkata ketika kejadian, pihaknya dalam perjalanan menuju ke Balung untuk Operasi Samseng Jalanan sebelum terserempak dengan kenderaan suspek yang mencurigakan.

"Ketika anggota polis tiba di Batu 5, Jalan Apas, kenderaan suspek tiba-tiba keluar dari persimpangan dan memecut ke arah Jalan Apas sehingga ke Bulatan Bandar Sri Indah, sebelum berpatah balik ke arah bandar selepas menyedari kehadiran polis.

"Apabila tiba di susur jalan pusingan Batu 2, Jalan Apas, kenderaan suspek merempuh laju sebuah kereta Perodua Bezza dan kereta peronda polis jenis Isuzu Dmax," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Peter berkata, hasil pemeriksaan polis kemudiannya menemui 5.11 gram dadah jenis syabu yang disembunyikan di bawah alas kaki tempat pemandu kereta yang dinaiki suspek.

“Kedua-dua remaja yang juga tidak memiliki lesen memandu ditahan atas kesalahan trafik dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: