Walscheid tawan Menara Petronas

Dr Mahathir (atas tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A Hamid (atas tiga, kanan) bergambar bersama para pemenang jersi pada peringkat ketiga LTdL Temerloh ke Kuala Lumpur selepas Majlis Penyampaian Trofi Peringkat Ketiga LTdL di hadapan Menara Berkembar Petronas hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir (atas tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A Hamid (atas tiga, kanan) bergambar bersama para pemenang jersi pada peringkat ketiga LTdL Temerloh ke Kuala Lumpur selepas Majlis Penyampaian Trofi Peringkat Ketiga LTdL di hadapan Menara Berkembar Petronas hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA NTT Pro Cycling Team, Maximilian Richard Walscheid mempamerkan tunggangan bertenaga apabila menjuarai Peringkat 3 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini.

Pelumba kelahiran Jerman berusia 26 tahun itu nyata dalam kelas tersendiri apabila mengakhiri perlumbaan di hadapan bangunan Menara Berkembar Petronas dengan catatan tiga jam 51 minit 42 saat.

Dalam perlumbaan dianggap sukar kerana turut membabitkan zon pendakian berstatus KOM1 di Genting Sempah itu, Walscheid yang menjuarai perlumbaan memanas badan Kriterium Antarabangsa Malaysia di Kota Kinabalu, Khamis lalu, mengekang asakan sengit pelumba Nippo Delko Provence, Riccardo Minali dan pelumba Team Sapura Cycling dari Turki, Ahmet Orken.

Dia menamatkan kayuhan sejauh 162.5km itu dengan catatan masa 3 jam 51 minit 42 saat, tatkala penyarung jersi kuning dari Vino Astana-Motors, Yevgeniy Fedorov sekali lagi berkayuh secara selamat di dalam kelompok besar di depan untuk mengekalkan jersi kuningnya selaku pendahulu keseluruhan.

Fedorov, pelumba muda Kazakhstan yang tampil kali kedua di LTdL, turut mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tetapi kehilangan jersi hijau Raja Pecut yang disarung sejak dua hari lalu kepada Walscheid yang kini mengumpul 34 mata.

Pelumba muda negara yang menyarung jersi Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Nur Aiman Zariff pula dinobatkan penyarung jersi merah Raja Bukit apabila bijak menguasai dua zon pendakian mudah dan menduduki tempat kedua dalam pendakian di Genting Sempah untuk mengumpul 16 mata.

Walscheid mempamerkan tunggangan bertenaga apabila menjuarai Peringkat 3 Petronas LTdL 2020 dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Walscheid mempamerkan tunggangan bertenaga apabila menjuarai Peringkat 3 Petronas LTdL 2020 dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama

Dalam perlumbaan yang dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Pahang yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Temerloh itu, sekumpulan 7 pelumba membuat pemecahan sebaik melepasi Mentakab tetapi mengecil kepada 6 pelumba.

Artikel Berkaitan:

Pelumba ARA Pro Racing sunshine Coast, Alistair Donohoe; Georgios Bouglas (SSIOS-Miogee); Bernard Benyamin Van Aert (PGN); John Le Bon (B&B Hotels-Vital Concept); Rylee Field (Bridgelane) dan Nur Aiman (TSC) kemudian menjarakkan diri dan berada hampir 4 minit di depan.

Aiman memastikan pungutan mata di dua zon pendakian mudah di Bukit Damar dan Bentong tetapi kurang bernasib baik ketika pendakian ke Genting Sempah kerana mengalami tayar bocor yang membolehkan Field mengutip mata dan meloloskan diri secara solo ketika menuruni laluan berkenaan.

Peloton yang dapat menangkap kumpulan di depan itu menyaksikan dua pelumba lain, Quintin Pacher (B&B) dan Pierpaolo Ficara (TSC) dapat menangkap Field di depan tetapi ketiga-tiga pelumba berkenaan ditelan kumpulan besar pelumba pada baki 2km dari garisan penamat di depan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Ketika itulah, rakan sepasukan Walscheid menarik pelumba itu ke depan sebelum henjutan terakhir yang menyaksikan dia hanya setengah roda di depan Minali dan Orken.

Dr Mahathir menyampaikan jersi kepada pemenang yang mengekalkan Jersi Kuning sejak peringkat pertama pelumba Kazakhstan dari Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov. -Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan jersi kepada pemenang yang mengekalkan Jersi Kuning sejak peringkat pertama pelumba Kazakhstan dari Vino-Astana Motors, Yevgeniy Fedorov. -Foto Bernama

“Segala-galanya kerana usaha menakjubkan rakan sepasukan yang bekerja keras untuk menangkap pelumba di depan. Kami mempunyai beberapa strategi hari ini. Rakan-rakan terutama Samuele Battistella memainkan peranan dengan berkesan untuk mengejar pelumba di depan.

“Mereka mempercayai kemampuan saya untuk melakukan pecutan terakhir dan saya gembira dengan kemenangan pertama di LTdL ini serta berharap akan menyusul satu lagi kemenangan selepas ini, terutama di laluan landai selepas peringkat ke Genting Highlands esok,” kata Walscheid sambil menambah dia turut terpukau dengan sambutan peminat berbasikal di Malaysia dan berbangga dapat berkayuh dalam edisi ke-25 LTdL ini.

Peringkat 4 esok membabitkan kayuhan sejauh 156.1km yang bermula di depan Bangunan Perbadanan Putrajaya dan berakhir di puncak pusat peranginan tanah tinggi Genting Highlands yang menjadi peringkat penentu dalam sepanjang sejarah LTdL.

Walscheid membuktikan dia dalam kelas tersendiri pada Peringkat 3 Petronas LTdL 2020 dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Walscheid membuktikan dia dalam kelas tersendiri pada Peringkat 3 Petronas LTdL 2020 dari Temerloh ke Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama