Pas tetap sokong kepimpinan Dr Mahathir

 Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun pemimpin itu pernah menolak perjuangan yang dibawa Pas dan kerap 'menyerang' parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas telah memaafkan Dr Mahathir termasuk UMNO berhubung permusuhan antara dua parti itu selama kira-kira 60 tahun.

"Manusia bukan statik. Mereka boleh berubah. Ada beberapa aspek yang Pas dapat lihat ketegasan Tun dalam isu antarabangsa, kebajikan dan isu lain yang menjadi perhatian.

"Sebab itu kita menyokong beberapa prinsip Tun. Perdana Menteri perlu ada 'vision', ada misi sendiri dan tidak boleh sekejap hendak tukar (Perdana Menteri)," katanya ketika ditemui pada Konvensyen Kebajikan Nasional 2029 dengan tema Muafakat Kebajikan Nasional di Dewan Seri Kasih, Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Dr Mahathir pernah memimpin negara sebelum ini dan menerima pelbagai kecaman oleh pemimpin tertentu.

"Tun pernah memimpin negara. Ketika itu beliau digelar 'maha firaun' dan kini dipeluk individu yang sama. Jadi perubahan politik ini bukan statik.

"Kalau mereka minta pendamaian maka (kita) terima pendamaian. Dengan UMNO 60 tahun bermusuh tetapi bukan nak kekal bermusuh sampai kiamat, kalau ada perubahan ke arah kebaikan kita menyokong," katanya.

Semalam, beliau memaklumkan 14 Ahli Parlimen Pas akan mengemukakan usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri itu sehingga akhir penggal pada Persidangan Dewan Rakyat bermula bulan depan atas dasar kepentingan awam.

Artikel Berkaitan:

Tuan Ibrahim (kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta pada Konvensyen Kebajikan Nasional 2029 di sini hari ini.
Tuan Ibrahim (kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta pada Konvensyen Kebajikan Nasional 2029 di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, UMNO akan dimaklumkan mengenai pendirian dan cadangan Pas mengemukakan usul itu pada Mesyuarat Muafakat Nasional malam esok (Isnin).

"Kita sebut kerana suasana tidak kestabilan (negara) akibat hendak tukar Perdana Menteri, riuh, sudah berapa tahun kita hendak tukar Perdana Menteri, macam tidak ada isu lain dan rakyat pun sudah bosan.

"Kalau PH betul-betul (mahu tukar Perdana Menteri) bawalah usul undi tidak percaya pada PM. Jadi oleh kerana mereka tidak bawa, kita bawa usul (percaya) ini untuk melihat sejauh mana Perdana Menteri mendapat sokongan ahli Parlimen," katanya.

Kata beliau lagi, usul menyokong Perdana Menteri itu bukan mewakili parti tetapi mewakili Ahli Parlimen.

"Sebagaimana disebut oleh Tun Ahli Parlimen (yang) menentukan sama ada beliau perlu terus kekal atau sebaliknya," katanya pada majlis berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN Pas pertahan usul percaya terhadap PM

Pas fokus perkukuh Muafakat Nasional dengan UMNO