Rugi lebih RM5,000 beli kereta tak wujud

Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam kerugian lebih RM5,000 selepas terpedaya dengan iklan kereta terpakai yang diiklankan melalui satu laman sesawang semalam.

Mangsa berusia 29 tahun itu menyedari tertipu selepas dia datang untuk mengambil kereta jenis Perodua Myvi yang dijanjikan di sebuah kedai kereta terpakai di Ipoh, Perak.

Malangnya, kenderaan berkenaan tiada di kedai tersebut malah individu yang berurusan dalam proses jual beli juga bukan pekerja di situ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dengan iklan jualan kereta selepas melayari laman sesawang itu pada 7 Februari lalu

"Dia kemudiannya berhubung dengan penjual melalui aplikasi WhatApps dan bersetuju dengan tawaran harga RM10,500. Mangsa membayar wang deposit RM500 dan pendahuluan sebanyak RM5,000 melalui dua akaun bank atas nama syarikat dan individu.

Bagaimanapun katanya, ketika mahu mengambil kereta di lokasi yang disebutkan peniaga terbabit mangsa kecewa kerana dimaklumkan individu yang berurusan itu bukan pekerja di kedai itu malah kereta Perodua Myvi yang dibelinya juga tiada di situ.

“Mangsa cuba menghubungi penjual tersebut tetapi gagal. Dia membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: