X

Kindly register in order to view this article
!

Masih wujud diskriminasi terhadap wanita berhijab?

SAMBUTAN Hari Hijab Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut pada 1 Februari di 190 buah negara seluruh dunia bagi menghapuskan stigma kurang manis terhadap wanita berhijab.
A
A

BAYANGKAN pada usia 11 tahun, Nazma Khan terpaksa berdepan dengan pelbagai kecaman dan diskriminasi hanya kerana berhijab.

Situasi tersebut berlaku apabila beliau ditakdirkan menjadi murid perempuan tunggal memakai tudung di sebuah sekolah yang terletak di Bronx, New York, Amerika Syarikat (AS).

Menurut wanita kelahiran Bangladesh tersebut, beliau tidak menyangka keputusan berhijrah dari negara kelahiran ke AS antara mimpi ngeri yang sukar untuk dilupakan.

“Sememangnya situasi yang berlaku sejak zaman kanak-kanak amat memeritkan. Di sekolah rendah saya sering menjadi bahan ejekan kerana disifatkan berpenampilan pelik sehingga ada yang memaksa berpakaian normal ke kelas.

"Kemudian, memasuki sekolah menengah, kutukan semakin menjadi-jadi. Segelintir pelajar memanggil saya 'ninja' atau 'Batman' hanya disebabkan sehelai hijab menutupi kepala,” luah Nazma seperti dipetik dalam wawancara bersama agensi media luar negara.

Bicara wanita berkenaan, tatkala melanjutkan pengajian di peringkat universiti pula sebahagian penuntut yang tidak bertanggungjawab menggelarnya Osama bin Laden atau pengganas.

NAZMA
NAZMA

Gelaran pahit sedemikian adalah susulan daripada tragedi 11 September 2001 yang mengorbankan lebih 1,100 mangsa dek serangan pesawat merempuh bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York, AS.

“Pengalaman hidup di sini (AS) cukup memeritkan, namun begitu ia sedikit pun tidak melunturkan jihad saya sebagai seorang Muslimah. Seperti mana yang termaktub dalam al-Quran bahawa menutup aurat itu adalah wajib.

“Bertitik tolak daripada insiden terbabit, saya tekad untuk mengubah persepsi masyarakat tempatan dan seantero dunia terhadap wanita bertudung. Sampai bila kami perlu berdepan dengan diskriminasi, dibuli dan dilemparkan tuduhan negatif, sedangkan Islam tidak begitu,” tegas beliau lanjut.

Rasa pengalaman bertudung

Justeru, bagi menyuntik aura positif dalam kalangan orang awam terhadap Muslimah berhijab, Nazma mengambil inisiatif melaksanakan Hari Hijab Sedunia bermula pada 1 Februari 2013.

Penganjuran program tersebut adalah untuk menggalakkan wanita bukan beragama Islam tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur merasai pengalaman memakai tudung.

“Ironinya, rata-rata masyarakat berpendapat wanita yang menyarungkan tudung adalah simbol penindasan. Mereka menganggap kami (wanita) telah dipaksa oleh agama, keluarga dan suami supaya mengenakan hijab, sementelah wanita agama lain bebas menentukan gaya sendiri.

“Saya sama sekali tidak menyangka idea menganjurkan sambutan Hari Hijab Sedunia di sini (AS) mendapat sokongan padu daripada kumpulan hijabi di serata negara seperti Jerman, Perancis, Australia dan United Kingdom (UK),” katanya dalam nada teruja.

Sambutan Hari Hijab Sedunia atau popular dengan #WorldHijabDay merupakan acara tahunan yang disambut pada 1 Februari di 190 buah negara seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, kempen berkenaan juga bertujuan mengetengahkan solusi terbaik cara bertoleransi dan menghapuskan stigma kurang manis terhadap wanita berhijab khususnya melibatkan sektor pekerjaan. Ia berikutan terdapat beberapa syarikat dikatakan enggan menerima kakitangan wanita bertudung.

Ikhlas bertudung

Dalam perkembangan berkaitan, bagi mengenal pasti sejauh mana wanita bertudung berdepan isu diskriminasi, pihak World Hijab Day telah mengadakan undian dalam kalangan 40,000 pengikut Instagram dan 790,000 (Facebook) pada tahun lalu.

Hasil kajian yang diperoleh daripada wanita berhijab antaranya di Pakistan, Malaysia, India, Nigeria dan Indonesia mendapati sebanyak 71 peratus kumpulan hijabi menjadi diskriminasi berpunca dek beberapa salah faham.

Menurut laman web Worldhijabday.com faktor utama yang mendorong wanita berhijab dibuli adalah disebabkan persepsi bertudung simbol penindasan.

KAJIAN turut mendapati sebahagian masyarakat menyifatkan wanita memakai hijab kerana dipaksa bukannya secara rela hati.
KAJIAN turut mendapati sebahagian masyarakat menyifatkan wanita memakai hijab kerana dipaksa bukannya secara rela hati.

Bagi soalan, 'Adakah anda rasa ditindas kerana berhijab?', sebanyak 94 peratus pengikut Instagram dan 81 peratus (Facebook) mengatakan 'tidak', sebaliknya berasa hebat dan luar biasa.

Bagaimanapun, sebahagian besar wanita menzahirkan komen kecewa dan ralat apabila pihak luar pula mendakwa mereka berhijab kerana ditindas.

Seterusnya, faktor kedua adalah salah faham masyarakat yang menyifatkan wanita telah dipaksa berhijab bukannya secara rela hati.

Namun begitu, dakwaan berkenaan disangkal oleh 93 peratus pengikut Instagram. Seramai 87 peratus daripada para pengikut Facebook pula mengatakan mereka bertudung kerana ikhlas dan mengikut kata hati.

Pada masa sama, terdapat juga pendapat ayah, abang atau suami yang memaksa wanita mengenakan tudung.

Salah seorang pengikut menulis komen dalam ruangan Facebook menyatakan: "Berhijab adalah tuntutan agama dan ia tiada kena-mengena dengan paksaan oleh sesiapa pun.

"Lagipun saya bertudung sebelum berkahwin, jadi suami tidak terlibat atau mempengaruhi keputusan saya ini."

Di bawah kategori itu sebanyak 94 peratus (Instagram) dan 86 peratus (Facebook) memberikan jawapan tidak dipaksa menutup aurat dengan berhijab.

Kajian tersebut turut menunjukkan sebahagian besar masyarakat seolah-olah tidak menyedari bahawa wanita berhijab terpaksa berjuang menepis isu diskriminasi.

Apabila ditanyakan soalan: 'Adakah anda pernah berdepan pengalaman dibuli kerana berhijab?' Sebanyak 58 peratus pengikut Instagram dan 60 peratus (Facebook) bersetuju.

Soalan yang sama juga dibuka khas untuk para hijabi di Eropah, Australia dan AS yang mana 71 peratus pengikut Instagram dan 63 peratus menerusi Facebook mengatakan, 'Ya'.

Jika dihitung wanita di ketiga-tiga negara itu mengalami diskriminasi dua kali ganda berbanding golongan berhijab di tempat lain.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus