Gergasi Merah belum pasti gegar Shah Alam

Stadium Shah Alam menjadi gelangang tuan rumah Selangor dalam saingan Liga-M.
Stadium Shah Alam menjadi gelangang tuan rumah Selangor dalam saingan Liga-M.
A
A
A

SELANGOR mungkin terpaksa melupakan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini di Stadium Shah Alam susulan kerosakan bumbung gelanggang keramat skuad Gergasi Merah itu yang mengancam keselamatan penonton.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal sebelum ini sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk segera melakukan kerja-kerja membaik pulih di stadium berkenaan.

Beliau berkata, semua venue perlawanan Liga-M 2020 perlu mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari atau Selangor berhadapan larangan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah mereka musim ini.

“Kita sudah membuat semakan (kerosakan) ketika melakukan pemeriksaan pertama dan FAS dimaklumkan untuk memberi perhatian serius kepada aspek bumbung dan padang. Kalau mereka tidak buat (baiki), stadium itu tidak akan diluluskan.

“Namun, saya difahamkan Selangor sedang dalam proses memastikan perkara itu dibaik pulih dan sebarang penambahbaikan akan dibuat. Seminggu sebelum liga bermula, kita (MFL) akan mengemas kini status venue pertandingan musim ini,” katanya.

Mohd Shazli yang ditemui pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Telekom Malaysia Berhad (TM), anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) dan MFL semalam berkata, beberapa venue sudah mendapat kelulusan hasil pemeriksaan awal sebelum ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon yang sedia maklum mengenai kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam menafikan pihaknya diminta segera mengatasi masalah tersebut sebelum liga bermula.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu mengenai pemeriksaan tersebut dan juga permintaan mereka untuk kami (FAS) perbaiki. Setakat ini, kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Stadium Shah Alam dari segi pembaikan padang dan juga bumbung sebab kami tidak mempunyai kapasiti dan sumber untuk membuat apa-apa di situ.

Artikel Berkaitan:

“Namun, saya tahu yang Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) mengeluarkan satu tender untuk pembaikan bumbung beberapa bulan lepas, jadi mereka sedang dalam proses untuk membaiki stadium tetapi FAS memang tidak terlibat dalam hal ini,” katanya.

Pada masa sama, Johan berkata, Selangor akan memberi kerjasama sekiranya diminta untuk menggunakan gelanggang lain pada saingan Liga-M musim ini.

Pada Piala Cabaran Asia 2020 bulan lalu, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak terutamanya dalam soal padang dan bumbung bocor yang menyebabkan serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton. - Bernama