Sabah tumpu industri hiliran bagi manfaat sumber semula jadi

Mohd Shafie Apdal (kanan) menunjukkan sesuatu kepada Nurini dan Mokhtar yang mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini. -Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal (kanan) menunjukkan sesuatu kepada Nurini dan Mokhtar yang mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menumpukan industri hiliran bukan hanya untuk memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi sedia ada tetapi pada masa sama mewujudkan peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, antara sumber tersebut yang diusahakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ialah tanaman kelapa sawit, ia dijadikan industri hiliran menerusi pembukaan kilang bagi mengeluarkan minyak masak.

Beliau berkata, industri hiliran tersebut direalisasikan menerusi pembukaan Kilang Benta Edible Oil Sdn Bhd dan mengeluarkan minyak masak jenama ‘Benta Enak Sedap Sehat’ (BESS), sebuah anak syarikat Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) yang juga unit Yayasan Sabah.

“Pembukaan kilang itu akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada 30 orang di daerah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nurini Kassim dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Mokhtar Hussain di pejabatnya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang (Berita Dalam Negeri), Abdul Rahman Ahmad.

Kunjungan tersebut adalah bagi memberi penerangan mengenai perkhidmatan disediakan Bernama, selaras dengan perkembangan semasa dan peranannya dalam membantu kerajaan negeri menghebahkan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Mohd Shafie berkata, sebuah lagi kilang mengeluarkan minyak masak akan dibina di Sandakan menerusi syarikat Sawit Kinabalu Sdn Bhd, GLC di bawah kerajaan negeri Sabah.

Beliau juga telah mencadangkan kepada Penasihat Ekonomi Negeri Sabah, Datuk Yap Yun Fok supaya membina sebuah kilang jus nanas dan pamelo dibina di Keningau.

Artikel Berkaitan:

"Sabah ada sumber semula jadi tetapi tidak dimanfaatkan sebelum ini untuk dijadikan industri hiliran. Sudah sampai masanya ia diusahakan untuk mewujudkan peluang pekerjaan. Kerajaan negeri perlu melangkah ke hadapan sejajar dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Mokhtar Hussain ketika ditemui pemberita berkata, kunjungan tersebut bersempena lawatan pihak pengurusan Bernama ke Sabah bagi memperbaiki penyampaian dan perkhidmatan kepada pelanggan di negeri ini.

Selain itu, mereka juga mengadakan lawatan ke atas pelanggan Bernama iaitu Utusan Borneo untuk mendengar maklum balas daripada mereka mengenai perkhidmatan Bernama. - Bernama