X

Kindly register in order to view this article
!

Pesakit koronavirus stabil: Dzulkefly

Dzulkefly pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan koronavirus di Kementerian Kesihatan hari ini.Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Empat rakyat Malaysia yang dijangkiti wabak koronavirus berada dalam keadaan stabil selepas beberapa langkah diambil untuk memulihkan mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka bersama pesakit lain kes positif koronavirus termasuk warga China, pada masa ini ditempatkan di wad isolasi.

Menurutnya, semua pesakit dari China itu juga umumnya dalam keadaan stabil.

"Kami beri segala diet, ruang untuk pemulihan dan tingkatkan sistem imun mereka," katanya pada sidang media harian situasi terkini koronavirus di sini hari ini yang turut memaklumkan tentang kes positif koronavirus ke-15 di Malaysia melibatkan pelancong wanita berumur 59 tahun dari Wuhan, China.

Sebanyak 11 kes positif itu membabitkan 11 rakyat China.

Dalam pada itu, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi dinasihat agar mengehadkan lawatan ke hospital terutama atas urusan tidak penting bagi mengekang penularan jangkitan koronavirus.

Dr Dzulkefly berkata, mereka termasuk kanak-kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas, mereka yang menghidap penyakit kronik, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

"Jika golongan ini masih perlu hadir ke hospital, mereka dinasihat mengamalkan penjagaan kesihatan diri," katanya sambil memberitahu antara amalan itu ialah mengelak daripada menyentuh mata, hidung dan mulut tanpa membasuh tangan terlebih dahulu, basuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat atau gunakan sanitizer tangan.

Beliau turut bercakap tentang keperluan mengelak mendekati mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan selesema, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin serta membasuh tangan dengan serta-merta.

Dr Dzulkefly berkata, sesiapa yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan harus memakai penutup hidung dan mulut serta kekalkan jarak yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain. - Bernama