Pas secara dasar sokong pembentukan Pakatan Nasional

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pas pada dasarnya menyokong pembentukan Pakatan Nasional bagi mengembalikan tampuk pemerintahan negara kepada Melayu Islam.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebarang perubahan yang bakal berlaku perlu mengikut saluran yang betul.

"Secara dasarnya begitu, dalam keadaan negara terumbang-ambing, sekarang tampuk pemerintahan negara perlu diambil alih oleh orang Melayu Islam.

"Apa yang penting ialah perubahan ke arah positif yang perlu dilakukan. Kita mesti menyelesaikan kelemahan yang berlaku bukan mengulangi kembali," katanya ketika ditemui pemberita di Rusila di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kita tetap masuk pintu depan: Abdul Hadi

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sebarang keputusan mengenai pembentukan gagasan Pakatan Nasional.

Katanya, Pas masih mengutamakan langkah awal mereka bersama UMNO dengan memeterai Muafakat Nasional bagi menyatukan kuasa politik Melayu Islam.

"Kita tidak perlu gopoh dalam perkara ini kerana ia perlu dinilai dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang penting ialah persamaan konsep yang dibawa seperti yang telah berlaku dalam Muafakat Nasional di mana UMNO sedia mengubah dasar dengan meletakkan Islam di hadapan.

"Ini adalah satu perubahan yang besar. Dalam masa yang sama, kita lihat dalam kerajaan pula ada yang bersikap fleksibel (tidak jumud)," katanya.

Spekulasi mengenai pembentukan Pakatan Nasional tercetus selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam membuat pendedahan mengenai perkara itu menerusi laman sosial Facebooknya pada 3 Februari lalu.

Menerusi video dimuat naik itu, Lokman mendakwa terdapat perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membentuk satu pakatan baharu ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO yang berlangsung Isnin lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid perlu letak jawatan, kata Lokman Adam