Pertukaran Ayob Khan tepat pada masanya: KPN

Abdul Hamid (tengah) menyaksikan penyerahan jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman daripada Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kiri) kepada Datuk Ramli Din pada Majlis Serah Terima Tugas di Bukit Aman hari ini. Foto: Bernama
Abdul Hamid (tengah) menyaksikan penyerahan jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman daripada Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (kiri) kepada Datuk Ramli Din pada Majlis Serah Terima Tugas di Bukit Aman hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan pelantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Ketua Polis Johor baharu adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepadanya.

Abdul Hamid berkata, Ayob Khan sudah lama berkhidmat di Cawangan Khas Bukit Aman dan perlu bertugas di luar.

“Saya bagi dia peluang ke bawah untuk memimpin kerana dia masih muda lagi.

“Jika saya biarkan dia di Cawangan Khas sebulan dua lagi, orang akan panggil Ayob Khan pengganas pula, sebab itu memang kerja dia,” katanya sambil berseloroh pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, pertukaran Ayob Khan adalah secara kebetulan bersama persaraan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ditanya sama ada pertukaran Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din mempunyai kaitan dengan suatu insiden di Johor baru-baru ini, Abdul Hamid enggan mengulas lanjut.

“Sukar saya hendak jawab, tetapi kalau dilihat daripada latar belakang Kamarudin, beliau pakar siber daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

“Sudah tiba masanya untuk beliau (Kamarudin) tukar dan kembali ke Bukit Aman, jika hendak mengaitkan dengan insiden berkenaan ia adalah terpulang kepada andaian masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ayob Khan bakal dilantik sebagai Ketua Polis Johor yang baharu dengan memangku pangkat CP berkuat kuasa 6 Mac ini.

Sementara itu, Mohd Kamarudin akan bertukar jabatan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuat kuasa pada tarikh yang sama.