X

Kindly register in order to view this article
!

Empower ECER wadah terbaik perkasa modal insan

Dr Sahruddin (kiri) beramah mesra bersama seorang usahawan yang menyertai Program Empower ECER Mersing.
A
A

MERSING - Kerajaan Johor optimis program Empower ECER yang dikelola Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mampu menjadi wadah terbaik bagi memperkasa proses pembangunan modal insan di daerah Mersing.

Empower ECER yang dilancarkan di daerah itu sejak tahun 2013 merupakan inisiatif serampang dua mata merangkumi program latihan kemahiran dan keusahawanan kepada golongan belia mahupun dewasa kurang mampu serta program latihan akademik kepada pelajar berprestasi rendah.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat menjadi fokus pihaknya malah ia antara penegasan utama yang diumumkan dalam Belanjawan Johor 2020.

Justeru katanya, program Empower ECER yang menumpukan kepada bimbingan akademik, latihan kemahiran dan keusahawanan selari dengan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf sosioekonomi warga tempatan khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Saya dimaklumkan, seramai 3,100 warga Mersing meraih manfaat daripada program ini yang meningkatkan prestasi peserta dewasa yang diberikan kemahiran mendalami ilmu perniagaan.

“ECERDC turut menjalankan program Entrepreneur ECER yang berfungsi membantu usahawan sedia ada di Mersing membangunkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi.

“Berdasarkan rekod, ECERDC berjaya membangunkan sejumlah 388 usahawan mikro dan SME yang mana 60 peratus daripada mereka kini memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 selain 38 peratus memperoleh pendapatan RM10,000 hingga RM100,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Usahawan Empower ECER Mersing 2019 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam.

Dr Sahruddin (tengah) bersama penerima anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Usahawan Empower ECER Mersing 2019 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim semalam.
Dr Sahruddin (tengah) bersama penerima anugerah khas sempena Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah Usahawan Empower ECER Mersing 2019 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat.

Pada majlis itu, seramai 400 peserta di Mersing menerima sijil pengiktirafan atas kejayaan mereka menamatkan kursus Empower ECER sesi tahun lalu.

Sementara itu, Baidzawi berkata, ECERDC kini dalam fasa lonjakan seterusnya dalam menghadapi pelaksanaan Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) yang bertujuan mentransformasikan kawasan berkenaan menjadi lubuk ekonomi menjelang tahun 2025.

“Di bawah EMP 2.0, bagi sektor pelancongan di Mersing, inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah semula jadi akan diteruskan melalui konsep ekopelancongan Hutan Hujan ke Terumbu Karang (R2R) ECER,” jelasnya.

Beliau berkata, projek-projek utama yang akan memberi impak kepada rakyat di Mersing pula adalah melibatkan pembangunan Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar dan pembangunan projek Kampungstay Air Papan.

Pengusaha makanan sejuk beku dan katering, Mursina Zainuddin, 33, berkata, dia menimba banyak ilmu selepas menyertai Kursus Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER.

Pemenang Anugerah Usahawan Gemilang Empower ECER Mersing 2019 itu berkata, pendapatannya meningkat dan kehidupannya berubah.

“Pengurusan kewangan dan strategi pemasaran yang dipelajari itu melariskan produk saya,” katanya.

Penerima Anugerah Usahawan Muda Empower ECER, Muhammad Farid Izzudin Malikha Zulkifli, 26, yang kini menguruskan kantin di Politeknik Mersing pula berkata, hidupnya berubah sebaik menerima ilmu pemasaran.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai peniaga makanan di pasar malam kini mempunyai kedai sendiri dan memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!