Liverpool bakal dominasi EPL untuk jangka masa panjang

Liverpool bakal menjadi pencabar utama EPL untuk beberapa tahun akan datang.
Liverpool bakal menjadi pencabar utama EPL untuk beberapa tahun akan datang.
A
A
A

LEGENDA Manchester United, Rio Ferdinand memuji perkembangan positif dipamerkan Liverpool dan melihat The Reds bakal menjadi pasukan yang sangat dominan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tempoh masa yang panjang.

Menurutnya, Liverpool akan menguasai EPL untuk tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan keupayaan pemain yang dimiliki pasukan kendalian Jurgen Klopp itu.

"Saya rasa perkara paling menakutkan semua orang di EPL ialah Liverpool. Ia bukan mengenai hari ini sahaja tetapi mereka akan menguasai EPL untuk tempoh yang lama.

"Mereka adalah pasukan yang dibina untuk jangka masa yang panjang dan mereka sangat sukar dicabar. Mereka melabur mendapatkan pengurus yang bagus dan turut memiliki idea hebat," katanya.

Liverpool ketika ini mengungguli carta EPL dengan 73 mata sekali gus menjadi calon utama menjulang trofi EPL musim ini selain berpeluang mempertahankan trofi Liga Juara-Juara dan masih dalam landasan pemburuan Piala FA.

Ferdinand yang memenangi kejuaraan EPL enam kali bersama United juga percaya apa yang dipamerkan Liverpool ketika ini adalah contoh kesabaran membentuk pasukan yang berkualiti dan ia ganjaran paling bermakna buat penyokong The Reds.

"Mereka tidak berjaya dalam sekelip mata, tetapi mengharungi getir dan liku.Sekarang ia telah membuahkan hasil selepas lima tahun dan akhirnya trofi EPL akan berada dalam dakapan mereka.

"Malah, mereka mempunyai pemain yang lengkap untuk tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan prestasi semasa dipamerkan pemain muda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ferdinand juga menafikan kecemerlangan yang dilalui Liverpool ketika ini hanyalah berdasarkan tuah semata-mata.

"Anda perlu menghormati Liverpool kerana mereka telah melakukan kerja yang bagus. Mereka bagaikan fenomena," katanya.