'Serangan ke atas Syed Saddiq tindakan biadab'

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada satu majlis di Ulu Tiram, Johor baru-baru ini disifatkan biadab dan tidak mencerminkan akhlak yang baik.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan malam ini memberitahu Jemaah Menteri memandang serius insiden serangan yang berlaku pada Jumaat lepas itu dan tindakan kasar tersebut perlu dikecam.

"Negara mempunyai undang-undang. Kerajaan mengamalkan “Rule of Law” dan semua pihak tanpa berkecuali, harus mematuhi undang-undang negara.

"Prinsip kedaulatan undang-undang hendaklah sentiasa dipatuhi," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa juga mesti menegakkan undang-undang secara telus dan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati tidak menghormati undang-undang.

"Hanya mereka yang menjadi anggota kerajaan yang berhak memberi arahan. Itu pun jika arahan bercanggah dengan undang-undang atau SOP (prosedur operasi standard), petugas tidak perlu bertindak," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak termasuk di negeri-negeri, yang tidak menghormati undang-undang negara termasuk yang tidak mematuhi arahan yang diberi oleh kerajaan.

Pada 1 Februari, Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Bersatu berkata kumpulan tidak diundang seramai kira-kira 200 orang tiba-tiba muncul di majlis rapat umum yang dihadirinya, di Ulu Tiram dan melakukan provokasi.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menjelaskan beliau terpaksa mengalah dan melompat pagar serta menggunakan 'jalan tikus' untuk mengelak kumpulan 'penyerang' berkenaan selepas dinasihat penganjur dan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikepung 'gengster', Syed Saddiq terpaksa lari panjat pagar

Di mana polis ketika Syed Saddiq dikepung?