LTDL 2020: Koronavirus jadi cabaran baru penganjur

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Penularan koronavirus merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi Human Voyage (M) Sdn Bhd selaku penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 bagi memastikan perlumbaan berbasikal terulung Asia yang bermula esok berjalan lancar.

Penularan virus berkenaan yang bermula di Wuhan, China sejak Disember 2019 menyebabkan dua pasukan dari negara Tembok Besar itu, iaitu Hengxiang Cycling Team dan Giant Cycling Team mengambil keputusan menarik diri daripada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal berstatus ProSeries dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Kekurangan penyertaan pasukan berstatus Jelajah Dunia (World Tour), serta peningkatan kos logistik susulan perlumbaan LTdL 2020 diadakan di Sabah dan Sarawak selepas kali terakhir diadakan di Borneo pada 1997 juga menjadi cabaran kepada syarikat pengurusan acara berkenaan dalam memastikan sambutan jubli perak perlumbaan berbasikal tahunan berkenaan tidak terjejas.

Perkara itu diakui sendiri Ketua Pengawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen Abdul Hamid yang mendedahkan pihaknya telah mengambil langkah-langkah tambahan, bagi memastikan kesemua aspek penganjuran perlumbaan, termasuk langkah keselamatan kesihatan dalam tempoh penularan koronavirus itu.

"Semua pihak berkaitan, termasuk agensi tempatan tahu tanggungjawab masing-masing. Kami akan bersedia untuk sebarang kemungkinan, dan kami berharap untuk menyediakan satu persekitaran yang selamat, untuk kesemua pelumba, pegawai dan keseluruhan pengiring," jelasnya.

Edisi ke-25 LTdL dijangka lebih meriah selepas Human Voyage memperkenalkan dua perlumbaan baharu, iaitu perlumbaan kriterium antarabangsa Malaysia (Malaysian International Criterium Race) yang bakal berlangsung di sekitar di bandar raya Kota Kinabalu esok selain Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia (Malaysian International Classic Race) pada 15 Februari ini di Pulau Langkawi, Kedah.

Ketiadaan pasukan Hengxiang dan Giant Cycling Team dirasakan tidak akan menjejaskan saingan LTdL 2020 yang menampilkan 21 pasukan, termasuk satu pasukan Jelajah Dunia, iaitu NTT Pro Cycling Team dari Afrika Selatan yang telah menyertai perlumbaan berbasikal berkenaan sejak edisi 2015 dan menyaksikan pelumba pasukan berkenaan, Youcef Reguigui dari Algeria muncul pemenang jersi kuning (juara keseluruhan).

Cabaran Malaysia pada kali ini bakal digalas dua pasukan berstastus benua, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC), selain pasukan kebangsaan yang membariskan beberapa pelumba berpengalaman seperti Nik Mohd Azwan Zulkifle, Anuar Manan serta Sofian Nabil Omar Mohd Bakri.

Artikel Berkaitan:

Bagi merancakkan lagi sambutan ke-25 LTdL yang bertemakan 'Sports Unite, Cycling Contributes', Human Voyage telah merancang pelbagai aktiviti sampingan di setiap lapan peringkat lokasi penamat bagi memastikan perlumbaan berbasikal berkenaan bukan sahaja mendapat sambutan hebat daripada warga desa malah seluruh rakyat Malaysia.

Ini termasuk tayangan di skrin layar gergasi bermula pukul 3.30 petang, pameran agensi-agensi kerajaan, pertandingan basikal dalam gelanggang dan pertunjukan gaya bebas basikal BMX.

Liputan media antarabangsa untuk LTdL 2020 tidak kurang hebatnya dengan beberapa stesen televisyen antarabangsa bakal membuat siaran langsung perlumbaan, selain sorotan harian, seperti saluran Eurosport 2 dan Eurosport Asia Pasifik, tiga televisyen China iaitu Hainan TV, Qinghai Satelitte dan Zhibo TV, selain Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 bagi penduduk di negara ini.

Mengimbau sejarah LTdL, ilham penganjuran perlumbaan berbasikal berkenaan dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempromosikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan, dan kini perlumbaan berkenaan yang bermula sejak 1996 bukan sahaja berjaya menarik penyertaan pelbagai pasukan terbaik dunia, malahan meletakkan nama Malaysia sebagai antara destinasi utama pelancong asing.

Pelbagai impak positif ditonjolkan setiap kali LTdl diadakan, kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada pelumba Malaysia mengukir nama di pentas berbasikal antarabangsa, tetapi kepada penduduk tempatan menjana pendapatan apabila LTdL tiba di kampung masing-masing.

Nama-nama pelumba tempatan seperti pasangan adik beradik, Mohd Zamri dan Mohd Harrif Saleh, selain Anuar Manan lahir daripada saingan LTdL, selain kemunculan beberapa pelumba terbaik dunia seperti Paolo Bettini, Chris Horner, Caleb Ewan dan Andrea Guardini mencipta nama di pentas berbasikal antarabangsa.

LTdL 2020 dijadualkan berlangsung esok sehingga 15 Februari ini dengan melibatkan jarak sejauh 1,114.9 kilometer yang merentasi sembilan negeri -- Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. - Bernama