Polis panggil Musa Hassan isu kait DAP dengan komunis

Musa Hassan
Musa Hassan
A
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk mengambil keterangan beliau berhubung dakwaan syarahan yang mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dibuka dan sedang berjalan setelah menerima beberapa laporan polis berhubung satu rakaman video syarahannya dalam sesi wacana isu semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di sebuah universiti baru-baru ini.

Menurutnya, perkara terbabit adalah prosedur operasi standard (SOP) biasa dalam menjalankan siasatan ke atas mana-mana kes yang dilaporkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Sosialis DAP buat laporan polis terhadap bekas KPN

Katanya, analisis terhadap kandungan video dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat unsur hasutan yang boleh membawa kepada ancaman keamanan negara atau sebaliknya.

"Kita ada menerima laporan dan bahagian siasatan jenayah akan mengumpulkannya dan mengambil tindakan terhadap siapa yang terlibat.

"Kita akan analisa kandungan video rakaman itu sama ada mengandungi unsur-unsur menghasut dan fitnah atau tidak. Memang ada laporan dibuat dan bahagian jenayah Bukit Aman CID telah pun mengambil tindakan," katanya pada sidang media selepas istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Terdahulu, tular sebuah klip video syarahan Musa dalam sesi wacana isu semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989 di sebuah universiti tempatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa DAP mempunyai agenda untuk menghidupkan semula ideologi komunis selain mengaitkan penglibatan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pada 1 Disember lalu kira-kira 300 individu menghadiri perjumpaan dan perhimpunan sebagai memperingati perjanjian dalam di antara PKM dan kerajaan Malaysia.

Ia mencetuskan kontroversi dengan ada pihak mendakwa ia merupakan usaha menghidupkan semula ideologi komunis di Malaysia.

Malaysia menandatangani perjanjian dalam dengan PKM di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989 yang membawa kepada persetujuan parti itu meletak senjata sekali gus menamatkan penentangan mereka kepada kerajaan.