Nizar teruskan tindakan isytiharkan muflis terhadap Razman

Mohammad Nizar (tengah) menyampaikan anak pokok pada Program Ekonomi Komuniti Perak Tengah di Kompleks Desa Warisan IGROW Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini hari ini.
Mohammad Nizar (tengah) menyampaikan anak pokok pada Program Ekonomi Komuniti Perak Tengah di Kompleks Desa Warisan IGROW Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini hari ini.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah memulakan tindakan untuk mendapatkan pengisytiharan muflis terhadap Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.

Menurutnya, pihak peguam telah diarahkan untuk meneruskan prosiding itu setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200,000.

“Sebelum saya saman dahulu, saya beri tempoh 14 hari untuk buat permohonan maaf, tetapi beliau tidak menggunakan kesempatan itu.

“Selepas kita tunggu tarikh akhir 29 Januari selepas hantar surat, beliau tiada respon maka saya minta hakim sediakan kertas untuk prosiding isytiharkan bankrap.

“Jadi ia dah pun diteruskan. Apabila saya setuju untuk isytiharkan bankrap, barulah dia bagi kenyataan untuk bayar ikut masa. Ini keputusan mahkamah. Tempoh masa yang diberikan kepadanya dah berlebih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas merasmikan Program Ekonomi Komuniti Perak Tengah di Kompleks Desa Warisan IGROW Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini hari ini.

Ditanya mengenai wang tersebut, Mohammad Nizar memaklumkan bahawa wang tersebut akan dibelanjakan untuk kepentingan rakyat.

“Duit itu kita akan buat untuk kepentingan rakyat bagi memberikan mereka sokongan.

Artikel Berkaitan:

“Ada perkara-perkara lain yang kita berhajat buat, kepentingan-kepentingan rakyat,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Razman berdepan tindakan bankrap berikutan gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum itu pada November 2019 lalu.

Peguam Mohammad Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, bayaran tersebut sepatutnya dijelaskan oleh Razman selewat-lewatnya pada 29 Januari lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang bayaran diterima.

Katanya, jumlah keseluruhan yang perlu dibayar Razman adalah sebanyak RM254,150 termasuk kos dan faedah lewat bayar.

Razman sebelum ini didapati bersalah memfitnah Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu dalam satu artikel yang diterbitkan akhbar Sinar Harian Edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk 'Pendekatan Nizar Mirip DAP'.