Bila call up?

Liridon bersama Stuart menunjukkan MyKad yang diterima pemain itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.
Liridon bersama Stuart menunjukkan MyKad yang diterima pemain itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.
A
A
A

BINTANG baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Liridon Krasniqi sudah tidak sabar menyarung jersi Harimau Malaya selepas sah mendapat kerakyatan warganegara Malaysia semalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, Liridon atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don kini hanya perlu menunggu kelulusan akhir Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya.

"Dia (Liridon) memang tak sabar (menyertai skuad Harimau Malaya). Perkataan pertama apabila jumpa saya... bila call up? Itu saja sudah menunjukkan kesungguhannya.

"FAM akan menghantar segera dokumen terbaru berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

"Kami berharap dengan kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya akan dapat memperkasakan lagi pasukan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Terdahulu, Stuart memaklumkan pemain kelahiran Kosovo berusia 28 tahun itu memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menaruh harapan Liridon dapat memperkasa skuad kebangsaan ketika aksi berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan.

"Sebagai jurulatih, kita pastinya gembira dengan kehadiran Liridon kerana dia boleh memberikan lebih pilihan kepada pasukan kebangsaan. Apapun kita akan tunggu proses daripada FIFA terlebih dulu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Cheng Hoe memberitahu, secara peribadi beliau sudah lama mengenali Liridon yang disifatkannya memiliki karakter tersendiri serta bermotivasi tinggi.

"Kita tahu semasa dengan Kedah, Liridon bermain begitu baik, dia seperti 'mesin' dalam pasukan. Jadi kita harap dia dapat memberikan sumbangan terbaik jika bersama pasukan kebangsaan nanti," katanya.