Isu Sajat: Mujahid adakan pertemuan dengan SKMM

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan isu membabitkan perilaku usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat di Makkah.

Dalam kenyataan hari ini, Mujahid berkata, pertemuan bersama SKMM itu bertujuan agar tindakan segera dapat diambil ekoran pelbagai video dan gambar yang dimuat naik Muhammad Sajad yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah, tular di media sosial.

“Saya akan mengambil tindakan tegas tentang perbuatan Muhammad Sajad Kamaruzzaman yang memuat naik video dan gambar mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah sehingga tular di media sosial yang menimbulkan ketidakselesaan umat Islam.

“Tindakan segera akan diambil oleh SKMM,” katanya selepas mengadakan pertemuan itu di pejabatnya di Kompleks Islam Putrajaya.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan segera mengadakan pertemuan bersama SKMM adalah kerana suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana media sosial yang memuat naik kandungan yang menimbulkan rasa tidak selesa khususnya kepada umat Islam.

Mujahid turut mengadakan pertemuan bersama agensi pelancongan umrah, Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang membawa Muhammad Sajad dan keluarganya ke Tanah Suci bagi mengetahui situasi sebenar di Makkah.

Selepas berbincang dengan agensi itu, Mujahid memaklumkan bahawa Muhammad Sajad perlu mengerjakan ibadah umrah sebagai seorang lelaki berdasarkan keputusan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas.

“Kami berpegang kepada fatwa muzakarah haji yang terang dan jelas (menyebut) kekal seseorang yang asal gendernya lelaki, maka segala hukum hakam (untuk mengerjakan haji atau umrah) hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya,” kata beliau. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan kesal Sajat bertelekung di Tanah Suci: Mujahid

ARTIKEL BERKAITAN Umrah lelaki berkelakuan wanita tidak sah: Mufti

Artikel Berkaitan: