Tolak MoU demi pelihara identiti nasional - Saifuddin
KUANTAN - Penolakan Perikatan Nasional (PN) terhadap memorandum persefahaman (MoU) daripada kerajaan berhubung peruntukan ahli Parlimen pembangkang adalah sarat nilai.
Ketua Portfolio Pendidikan PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, MoU itu menokok tambah peraturan yang bukan-bukan mengenai perlakuan ahli Parlimen sedangkan undang-undang berkaitannya telah sedia ada.
"Ini akan mengurangkan kebebasan bersuara yang telah sedia ada. Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya.
"Bukan sahaja merosakkan identiti nasional, tetapi juga mengancam asas dan semangat demokrasi berparlimen dalam negara kita," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahli Parlimen Indera Mahkota memberitahu, penolakan itu penting demi kelangsungan identiti nasional dan memastikan Malaysia maju mengikut acuan serta nilai parti itu sendiri yang berasaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, penolakan ini adalah berasaskan empat alasan fundamental iaitu MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir, salah guna kuasa; serta mengongkong kebebasan wakil rakyat untuk bersuara.
"MoU itu mempunyai satu senarai syarat atau obligasi yang perlu dipatuhi Ahli Parlimen PN sahaja, dan anehnya, tidak pula dinyatakan kepatuhan oleh ahli Parlimen kerajaan. Jadi, ia berat sebelah.
"Tetapi, apa yang paling signifikan ialah bahawa pada analisis akhirnya ia menimbulkan empat perkara fundamental penolakan (empat alasan fundamental mengapa MoU ditolak)," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan empat perkara fundamental tersebut adalah perkara-perkara yang mesti ditentang dan tidak boleh dikompromi.
Saifuddin menambah, empat perkara itu berlawanan dengan nilai dan prinsip yang mendefinisi atau memberi makna mengenai apa itu Malaysia dan identiti nasional sebagai rakyatnya.
Dari segi Perlembagaan, ujarnya, MoU itu membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk mempersoalkan teras-teras Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu atau bumiputera.
"Antara lain ia akan menggugat dasar afirmatif yang bertujuan membela nasib dan kemajuan orang Melayu atau bumiputera dalam pendidikan dan ekonomi.
"Dari segi nilai-nilai kemanusiaan, MoU itu memberi ruang kepada fahaman hak asasi yang berlawanan dengan nilai-nilai agama dan budaya kita untuk berkembang dan diiktiraf secara tersurat mahu pun tersirat.
"Contohnya, MoU menggunakan frasa "apa-apa faktor identiti yang lain". Identiti yang lain?," katanya.
Menyentuh dari segi keadilan, Saifuddin memberitahu, MoU tersebut membuka peluang untuk pihak berkuasa mentafsir sesuatu perkara mengikut selera politiknya seperti men-3R-kan perkara yang bukan 3R (kaum, agama, raja).
Pada 15 September lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataan menjelaskan pembangkang telah membuat ketetapan menolak MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.